Guardiola masih mampu tersenyum di sebalik tersungkur kepada Leipzig

Astro Arena
Disember 8, 2021 10:26 MYT
Skuad kendalian pengurus dari Sepanyol itu gagal untuk bangkit namun masih mengekalkan kedudukan di puncak Kumpulan A sebelum sepak mula lagi. - Astro ARENA
LEIPZIG 2 MAN CITY 1
Pep Guardiola berpuas hati dengan usaha Manchester City di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) sekalipun gagal melakar sebarang bersih di peringkat awal kempen termasuk ketika tewas 1-2 kepada RB Leipzig.
City bertandang ke Red Bull Arena, awal pagi tadi, selepas mencatat rekod 14 perlawanan tanpa kalah sepanjang berdepan wakil Jerman tetapi ketinggalan kepada jaringan Dominik Szoboszlai dalam separuh masa pertama.
Andre Silva menggandakan kelebihan tuan rumah sebelum Riyad Mahrez menyumbat gol sagu hati buat pasukan pelawat sebelum kekasaran melulu Kyle Walker terhadap penjaring kedua Leipzig tersebut mencemari perlawanan itu hingga mengundang kad merah.
Skuad kendalian pengurus dari Sepanyol itu gagal untuk bangkit namun masih mengekalkan kedudukan di puncak Kumpulan A sebelum sepak mula lagi.
“Kami tidak mendapat rentak dalam separuh masa pertama, kami menghadapi masalah untuk melancarkan gerakan dan lawan pula sangat bagus - kami menyedarinya sebelum undian lagi,” katanya kepada pemberita.
“Aksi babak kedua lebih baik, malangnya kami melakukan satu atau dua kesilapan dan mereka menghukum kami.
"Kami bermain lebih baik dalam separuh masa kedua. Kami lebih agresif, kami bermain untuk memenangi perlawanan dan kami tewas. Tahniah kepada Leipzig.
"Kami melepasi rintangan peringkat kumpulan yang luar biasa, kami sudah layak dengan baki satu perlawanan dalam satu kumpulan yang sukar, jadi saya lebih berpuas hati dengan prestasi dalam setiap perlawanan dan pada Februari depan, saya harap kami boleh turun dalam keadaan terbaik," katanya.
Dalam masa, City meninggalkan Leipzig dengan dua kecederaan yang melanda Phil Foden - yang menjadi pemain England termuda untuk membuat 30 penampilan UCL - termasuk Nathan Ake.
"Phil Foden menghadapi masalah dengan buku lalinya, sebagai langkah berjaga-jaga saya memutuskan untuk mempertaruhkan Raheem Sterling di posisinya," sambungnya.
"Nathan Ake pula mengalami masalah belakang, kami akan mengetahui lebih lanjut esok," tambahnya.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu akan kembali beraksi di tempat sendiri menentang Wolves, Sabtu ini, dalam usaha meniti semula landasan kemenangan.
#bola sepak #Manchester City #RB Leipzig #Pep Guardiola
;