Guardiola: Masalah kecergasan tidak akan jadi masalah City
Astro Arena
Disember 26, 2017 09:55 MYT
Disember 26, 2017 09:55 MYT
PEP Guardiola percaya Manchester City mampu mengelak daripada menghadapi masalah kecergasan sepanjang musim perayaan ini.
Kemenangan ke atas Bournemouth pada Sabtu menyaksikan City melanjutkan rekod kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada 17 kemenangan.
Mereka akan berkunjung ke St. James Park bertemu Newcastle United hari ini sebelum bertemu Crystal Palace pada 31 Dis, sebelum dilengkapkan dengan pertemuan berdepan Watford di Stadium Etihad pada 2 Jan.
Bagaimanapun, Guardiola tidak risau mengenai tahap kecergasan pemain-pemainnya.
"Saya tidak berasakan City akan mengalami masalah kecergasan," katanya.
"Ia mungkin berlaku, tetapi kami memiliki pemain yang secukupnya. Gabriel Jesus tidak bermain bertemu Bournemouth - dia telah bermain selama 120 minit berdepan Leicester dan dia merupakan salah seorang pejuang terbaik pernah saya saksikan sepanjang hidup saya. Dia banyak membantu pasukan.
"Danilo, Bernardo Silva, dan Ilkay Gundogan telah membantu pasukan ketika bertemu Bournemouth. Tidak terlupa, kami juga mempunyai Yaya Toure.
"Sememangnya, kami akan mengubah kesebelasan utama pasukan. Kami perlu beraksi setiap empat hari. Setiap pemain akan berpeluang untuk menampilkan persembahan terbaik."