Guardini juara peringkat ketiga LTdL

Bernama
Mac 2, 2014 08:00 MYT
Pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini dari Itali hari ini muncul juara peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 walaupun mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan semalam.
Pelumba berusia 24 tahun itu memecut untuk kemenangan pertama pasukannya musim ini, dengan menamatkan perlumbaan dalam masa tiga jam, 40 minit dan 38 saat dalam perlumbaan sejauh 166.5 km dari Kampar, Perak ke Dataran Merdeka di sini.
Guardini mengetepikan pemenang peringkat kedua iaitu pelumba Belanda Theo Bos daripada Belkin-Pro Cycling Team yang menduduki tempat kedua manakala pelumba Peranchis, Yannick Martinez daripada Team Europcar di tempat ketiga.
Dengan kemenangan hari ini, Guardini telah memenangi sebanyak 13 peringkat perlumbaan dalam perlumbaan LTdL menjadikannya pelumba yang paling banyak memenangi peringkat perlumbaan dalam sejarah kejuaraan berprestij itu.
"Rakan sepasukan saya, Ruslan (Tleubayev) telah melakukan tugasnya dengan baik untuk membantu saya berada antara 10 km hingga 20 km ke garisan penamat...beliau membantu saya mendapatkan kedudukan yang baik untuk memecut dalam jarak 400 meter terakhir," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Guardini yang terlibat dalam kemalangan kira-kira satu kilometer lagi ke garisan penamat di kawasan Taman Tasik Taiping semalam, berkata beliau ada terfikir untuk menarik diri daripada perlumbaan itu hari ini tetapi mengubah fikirannya.
Dalam perlumbaan pecut, pelumba Synergy Baku Cycling Project, Matt Brammeier dari Ireland mengambil alih jersi biru daripada pelumba Team Colombia Duber Quintero dari Colombia selepas memungut 32 mata.
Beliau mengekalkan jersi merahnya dalam perlumbaan bukit dengan 28 mata sementara Quintero masih mengekalkan jersi kuningnya sebagai pendahulu keseluruhan selepas mencatatkan masa 9'13:10s.
Pasukan Quintero kekal berada di tangga teratas keseluruhan dengan jumlah catatan masa 27'43:03s sementara Terengganu Cycling Team mendahului kategori pasukan Asia dengan catatan masa 27'44:56s.
Dalam kategori pelumba Asia (jersi putih), pelumba OCBC Singapore, Goh Choon Huat mengekalkan jersi itu setelah mengumpul masa 9'13:56s.
Pelumba Terengganu Cycling Team Mohd Hariff Salleh pula muncul pelumba Malaysia terbaik apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.
Perlumbaan esok sejauh 110.9 km bakal menyaksikan pelumba pertama menguasai puncak Genting Highlands dengan laluan yang mencabar di mana mereka akan mengayuh di dua zon mendaki iaitu Bukit Cherakah dan Genting Sempah.
#andrea guardini #Le Tour de Langkawi
;