GTR Burger tarik diri rakan strategik KDA FC
Sinar Harian
Julai 25, 2024 09:15 MYT
Julai 25, 2024 09:15 MYT
RAKAN strategik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, GTR Burger mengumumkan akan menarik diri selepas bersama Sang Kenari kira-kira tiga bulan sahaja.
Pemilik GTR Burger, Nordin Mat memaklumkan perkara tersebut melalui laman media sosial rasmi mereka malam tadi.
“Salam buat semua penyokong KDA FC yg saya hormati. Saya telah menemui Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar siang tadi dan memaklumkan GTR Burger akan menarik diri sebagai rakan strategik KDA FC mulai hari ini (Rabu).
“Saya juga memohon jutaan ampun dan maaf kepada semua atas segala kesulitan yang berlaku dan mendoakan KDA FC akan terus maju jaya pada masa hadapan,” katanya.
Tidak menyatakan dengan jelas punca syarikat tersebut menarik diri sebagai rakan strategik KDA FC, difahamkan perkara berkenaan dipercayai selepas menerima kritikan daripada penonton perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 pada Jumaat lalu.
Menerusi hantaran dikongsikan seorang pengguna akaun Facebook yang juga penyokong KDA FC, Danie Kincaid sebelum ini, kualiti burger yang dijual jenama tersebut didakwa tidak berbaloi dengan harganya.
Walaubagaimanapun, Nordin tampil menjelaskan dakwaan tersebut dengan lebih terperinci yang mengambil kira jumlah kos keseluruhan termasuk bayaran untuk kelab berkenaan.
Pemilik GTR Burger itu juga dalam hantaran lain juga memohon maaf kepada penyokong kelab tersebut.
“Kepada semua penyokong KDA FC, saya dengan rendah hati memohon maaf atas ketelanjuran kata-kata jika ada yang menyinggung perasaan anda.
“Kami mengambil iktibar dan akan memperbaiki segala kekurangan kami,” ujarnya.
Selain KDA FC, tiga lagi kelab turut menjadi rakan strategik GTR Burger iaitu Selangor FC, Sabah FC dan Kelantan Darul Naim FC pada musim ini. - Sinar Harian