Griezmann adalah Zidane yang baru - Desailly

Astro Arena
Jun 15, 2018 22:58 MYT
DESAILLY: Griezmann (gambar) adalah pemain utama untuk pasukan Perancis, sama seperti apa yang pernah Zidane lakukan. - REUTERS / Fail
MARCEL Desailly memilih Antoine Griezmann selaku kunci utama buat pasukan Perancis dalam skuad Piala Dunia dan menyamakan bintang Atletico Madrid itu dengan bekas rakan sepasukannya, Zinedine Zidane.
Dua hari lalu, Griezmann mengesahkan kesetiaannya bersama Atletico dan dia dijangka akan mengetuai barisan serangan Perancis bagi aksi bertemu Australia pada petang ini.
Desailly yang ditemui di Itali menyifatkan pemain berusia 27 tahun itu mampu memberikan kualiti yang diperlukan Les Bleus untuk memenangi setiap perlawanan, sama seperti apa yang ditampilkan Zidane ketika kempen di laman sendiri, 20 tahun lalu.
"Saya rasa Didier Deschamps memberikan gambaran jelas bahawa Griezmann adalah kunci utama buat skuad Perancis," katanya.
"Dia adalah pemain yang mampu mengubah corak perlawanan dan menyuntik ketajaman dalam setiap serangan pasukan.
"Griezmann adalah pemain utama untuk pasukan ini, sama seperti apa yang pernah Zidane lakukan."
Dalam masa sama, Desailly menganggap keputusan Deschamps untuk tidak manamakan Anthony Martial, Kingsley Coman dan Alexander Lacazette mungkin berdasarkan persembahan mereka ketika Piala Eropah 2016.
"Tentang Martial, Lacazette dan Coman, saya bersetuju dengan pilihan Deschamps.
"Dia mungkin menyedari bahawa pemain-pemain tersebut berada satu tahap dibawah berbanding apa yang dia mahukan. Ia juga dilakukan berdasarkan falsafah yang permainan yang diterapkan dalam pasukan."
#Antoine Griezmann #Atletico #Awani FIFA #bola sepak #Marcel Desailly #pemain #Perancis #Piala Dunia #Raya Bola 2018 #Zinedine Zidane