Great Britain kejutkan juara bertahan Piala Sultan Azlan Shah
Bernama
Mei 6, 2017 07:27 MYT
Mei 6, 2017 07:27 MYT
Pasukan Great Britain menjulang Piala Sultan Azlan Shah selepas menewaskan juara bertahan Australia 4-3 di dalam perlawanan akhir yang mendebarkan dan mengujakan di Stadium Azlan Shah di sini malam tadi.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menyampaikan trofi kepada pasukan Great Britain yang memenanginya buat kali kedua selepas kali pertama menjulangnya pada tahun 1994.
"Ia adalah saat yang menggembirakan selepas 23 tahun untuk memenangi trofi ini lagi. Ia satu perlawanan yang hebat menentang Australia ... ia adalah pertandingan yang begitu mencabar, kata jurulatih pasukan Derek Forsyth.
Beliau berkata perlawanan pada malam ini penuh dengan penggunaan taktikal dan kekuatan pemain.
Pemain Britain mengejutkan Australia seawal minit kelapan permainan apabila Alan Forsyth menjaringkan satu gol padang dan tiga minit kemudian kapten pasukan, Ian Sloan menjaringkan gol kedua menerusi pukulan sudut penalti.
Juara bertahan Australia yang menyasarkan untuk menjadi juara buat kali ke-10 merapatkan jurang jaringan pada suku ketiga permainan apabila Eddie Ockenden menjaringkan gol pada minit ke-28 tetapi tidak lama kemudian Britain terus mendahului menerusi gol padang Ollie Willars pada minit ke-33.
Pasukan Australia menjaringkan gol kedua mereka seminit kemudian menerusi pukulan Joshua Pollard tetapi David Goodfield melebarkan jaringan untuk Britain mendahului 4-2 pada minit ke-43.
Bagaimanapun, Australia berjaya merapatkan defisit gol kepada 3-4 apabila Dylan Wotherspoon
menjaringkan gol untuk pasukannya pada minit ke-48.
Terdahulu dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, Juara Asia India menumpaskan New Zealand 4-0.
Dalam dua suku pertama permainan , India memperoleh gol menerusi Rupinder Pal Singh yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan ke-27 dan selepas waktu rehat, Sunil Sowmarpet menjaringkan gol padang pada minit ke-48.
India mendapat gol keempatnya 47 saat sebelum wisel ditiup hasil jaringan Talwinder Singh.
Senarai Anugerah:
Juara : Great Britain
Naib Juara : Australia
Pemain Terbaik : Tom Craig (Australia)
Anugerah Permainan Bersih (Piala Raja Ashman): New Zealand
Penjaring Terbanyak: Tom Craig (Australia), Trent Mitton (Australia) dan Mandeep Singh (India) - masing-masing lima gol
Penjaga Gol Terbaik: Suguru Shimmoto (Jepun)
Pemain Terbaik (Final): Alan Forsyth (Great Britain)
-- BERNAMA