Grand Prix Itali: Quartararo bermula dari petak kedua
Bernama
Jun 2, 2019 16:59 MYT
Jun 2, 2019 16:59 MYT
Pelumba Fabio Quartararo dari pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing (SRT) akan memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Itali, di litar Mugello.
Quartararo, yang mencatatkan masa kedua pantas pada sesi Kelayakan 2 (Q2) selepas melakukan masa terbaik sepusingan satu minit dan 45.733 saat, hanya 0.124 saat di belakang Marc Marquez dari Repsol Honda, yang akan bermula di petak utama dengan catatan masa 1:45.519 saat.
Sementara rakan sepasukannya, Franco Morbidelli berjaya melepasi masa 1:46.00 pada tunggangannya yang terakhir dengan catatan masa sepusingan 1:45.959s untuk bermula dari petak keempat.
"Saya amat gembira dengan prestasi hari ini. Saya tidak sangka akan sebegini pantas. Saya dapat rasakan sesuatu yang baik dalam sesi Latihan Bebas 4 (FP4).
"Ini satu kedudukan yang baik untuk perlumbaan. Pengurusan tayar akan menjadi sukar untuk perlumbaan nanti. Kami perlu mengkaji pilihan tayar dengan baik, dan kami perlu menjaga tayar dengan baik semasa perlumbaan. Saya tidak sabar untuk berlumba di hadapan peminat Itali dan berikan mereka keputusan yang terbaik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perlumbaan MotoGP Italy pusingan ke enam musim 2019, sebanyak 23 pusingan akan bermula pada 2 pm waktu tempatan (8 pm waktu Malaysia).
Pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee dan Ayumu Sasaki menghadapi kesukaran di Mugello selepas masing-masing menduduki tempat ke-18 (1:58.122s) dan ke-19 (1:58.235s) dalam kelayakan Moto3.
-- BERNAMA