Grand Prix F1 2014: Hamilton mula di petak pertama hari ini

Bernama
Mac 29, 2014 07:47 MYT
Lewis Hamilton
Pelumba pasukan F1 Mercedes AMG Petronas Lewis Hamilton menyambar petak pertama untuk kali kedua pada sesi kelayakan Grand Prix Formula Satu (F1) 2014 di Litar Sepang, pada Sabtu.
Pemandu dari Britain itu mencatatkan satu minit 59.431 saat pada sesi ujian ketiga yang berlangsung dalam hujan untuk menduduki petak pertama.
Untuk rekod, kejayaan Hamilton ialah yang ke-33 dalam kariernya menyamai rekod yang dipegang oleh pemandu Britain Jim Clark sejak 1964 walaupun kejayaan Clark diraih dalam 73 perlumbaan berbanding 131 oleh Hamilton.
"Saya benar-benar gembira dengan tahap pencapaian sejak hujung minggu tetapi hari ini adalah yang paling menakjubkan walaupun hujan lebat," kata beliau dalam persidangan media.
Sesi kelayakan pertama ditangguhkan selama hampir sejam kerana hujan lebat dengan suhu di litar mencecah 31 darjah Celsius .
Mengiringi Hamilton di petak hadapan ialah pelumba pasukan Red Bull, Sebastian Vettel, mencatatkan 1:59.486, yang berkata hujan telah banyak membantu pasukannya.
"Persaingan amat sengit, terlalu sengit. Saya harus berada di kedudukan yang selamat esok tetapi ia bergantung pada tahap permulaan. Saya gembira dengan keputusan itu," kata Vettel yang dipilih sebagai Atlet Lelaki Terbaik pada Anugerah Dunia Sukan Laureus 2014.
Sementara itu, rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg dari Jerman, pemenang sesi kelayakan Australia dua minggu lepas, akan bermula dari petak ketiga atas grid selepas mencatatkan 2:00.050s.
Rosberg juga mencatatkan masa terpantas pusingan secara keseluruhan dengan 1:57.183s.
"Perlumbaan dijangka berlangsung lama esok, siapa tahu, keadaan cuaca akan menentukannya. Jadi, saya tidak sabar untuk perlumbaan esok dan akan melakukan yang terbaik," kata Rosberg.
Kimi Raikkonen daripada pasukan Ferrari menduduki tangga keenam dengan catatan masa 2:01.218s.
#F1 #Lewis Hamilton #Petronas
;