Grand Prix Emas Malaysia: Chong Wei tarik diri

Bernama
April 29, 2013 14:06 MYT
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan pemain perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, tidak akan menyertai Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Malaysia yang bermula di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini, esok.
Setiausaha BAM Ng Chin Chai berkata Chong Wei menghubungi beliau pagi tadi untuk memaklumkan penarikan diri daripada kejohanan tersebut ekoran kecederaan ringan di jari tangan kirinya.
"Kami sudah mengadakan mesyuarat dan bersetuju menerima keputusan Chong Wei untuk tidak beraksi esok," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Chong Wei mengalami kecederaan itu selepas terjatuh ketika beraksi pada perlawanan akhir Kejohanan Terbuka India semalam di mana pemain negara itu menjuarai kejohanan itu.
#Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Malaysia #Lee Chong Wei