Grand Prix Belgium: Hamilton diisytihar juara selepas Russell tersingkir

Bernama
Julai 29, 2024 03:10 MYT
Russell di tempat pertama meraikan kejayaan bersama Hamilton (kiri) dan Piastri ketika GP Belgium di litar lumba Spa-Francorchamps, Spa, Belgium, 28 Julai 2024, sebelum Hamilton dinobat sebagai pemenang. (Foto AP)
ANKARA: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton diisytihar sebagai pemenang Grand Prix Belgium pada Ahad selepas rakan sepasukannya, George Russell tersingkir walaupun berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.
Russell, 26, tersingkir selepas keretanya didapati tidak memenuhi syarat selepas perlumbaan, meskipun menamatkan perlumbaan dalam masa 1 jam, 19 minit dan 57.040 saat, lapor Agensi Anadolu.
"Keretanya tidak dikosongkan sepenuhnya mengikut prosedur yang dikemukakan oleh pasukan dalam dokumen sah mereka seperti yang dinyatakan dalam Artikel 6.5.2 TR," menurut Delegasi Teknikal Formula 1 FIA, Jo Bauer dalam surat rasmi.
Kenderaannya ditimbang semula pada skala dalam dan luar FIA dan beratnya adalah 796.5 kilogram (kg).
"Oleh kerana ia adalah 1.5 kg di bawah berat minimum yang diminta dalam Artikel 4.1 TR, yang juga perlu dihormati pada setiap masa semasa persaingan, saya merujuk perkara ini kepada Stewards untuk pertimbangan mereka," menurut kenyataan itu.
Selepas pertemuan antara wakil Stewards dan Mercedes, Russell disahkan tersingkir daripada perlumbaan.
Hasil keputusan itu, Hamilton dinobat sebagai pemenang, Oscar Piastri dari McLaren di tempat kedua, dan Charles Leclerc dari Ferrari menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan.
Pemandu Red Bull, Max Verstappen juara bertahan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
-- BERNAMA
#Lewis Hamilton #George Russell #Grand Prix Belgium #kereta tidak memenuhi syarat