GP Motosikal Malaysia: Bagnaia juara Moto3 di Litar Sepang
Bernama
Oktober 30, 2016 13:24 MYT
Oktober 30, 2016 13:24 MYT
Francesco Bagnaia daripada pasukan Pull & Bear Aspar Mahindra muncul juara kelas Moto3 di Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.
Penunggang Itali itu mencatat 29 minit 29.351 saat selepas perlumbaan tersebut dihentikan berikutan bendera merah dikibarkan ketika berbaki lima pusingan akibat kemalangan.
Jakub Kornfeil yang mewakili Drive M7 SIC Racing menduduki tempat kedua selepas ketinggalan 7.108 saat manakala penunggang Red Bull KTM Ajo, Bo Bendsneyder mendapat tempat ketiga, 7.253s di belakang pemenang.
Penunggang negara, Khairul Idham Pawi daripada Honda Team Asia menduduki tempat kelapan, Amirul Hafiq Azmi (Peugeot MC Saxoprint) di posisi ke-11 manakala Adam Norrodin (Drive M7 SIC Racing) pula gagal menamatkan perlumbaan. -- BERNAMA