GP Motosikal M'sia: Zulfahmi optimis berada dalam kelompok 10 terbaik
Bernama
Oktober 12, 2013 17:18 MYT
Oktober 12, 2013 17:18 MYT
Meskipun terpaksa bergelut dengan kesakitan, pelumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin tetap optimis untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok sepuluh terbaik pada Grand Prix Motosikal Malaysia 2013 di Litar Sepang esok.
Pada sesi kelayakan hari ini, Muhammad Zulfahmi yang mewakili pasukan Red Bull KTM Ajo mencatat 2 minit 15.474 saat dan bakal memulakan perlumbaan di petak ke-14 bagi kategori Moto3.
Rakan sepasukannya, Luis Salom dari Sepanyol yang juga pendahulu kejuaraan, akan memulakan perlumbaan di petak pertama selepas mencatat 2:13.867s diikuti Alexis Masbou dari pasukan Ongetta-Rivacold di petak kedua dengan catatan masa 2:13.985s manakala Niccol= Antonelli dari pasukan GO&FUN Gresini Moto3 di petak ketiga (2:14.006s).
"Boleh dikatakan perlumbaan hari ini sangat bagus jika dibandingkan dengan semalam, saya berada di kedudukan ke-20 dan hari ini, semuanya berjalan lancar, cuma masa permulaan hari ini trek agak basah di beberapa selekoh.
"Saya masih lagi bertarung dengan kesakitan di beberapa selekoh terutama untuk mengawal motosikal saya. Saya harap esok kesakitan saya akan berkurangan dan dapat bertahan untuk menghabiskan 18 pusingan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Zulfahmi berkata bahagian pinggangnya bengkak akibat kemalangan semasa beraksi di Litar Aragon minggu lepas dan masih sakit.
Kemalangan itu turut mengakibatkan pergelangan tangan kanan beliau mengalami keretakan kecil manakala pergelangan tangan kirinya terpaksa dibedah.
Sementara itu, keputusan sesi kelayakan hari ini tidak menyebelahi dua pelumba 'wild card' Moto3 iaitu Amirul Hafiq Azmi dan Husni Aizat Abdul Malik, kedua-duanya mewakili pasukan Touchline-SIC-AJO, yang bermula di petak kedua dan ketiga terakhir dalam perlumbaan esok.
Amirul Hafiq mencatat masa 2:17.757s dan berada di kedudukan ke-32 diikuti Husni Aizat di tempat ke-33 selepas mencatat 2:17.814s.
Amirul Hafiq berkata keadaan trek basah dan kering di sesetengah tempat merupakan faktor yang mengganggu tunggangan beliau hari ini.
"Saya memang kecewa dengan keputusan hari ini dan tunggangan saya juga tidak bagus. Trek yang basah di beberapa selekoh membuatkan saya tidak begitu yakin untuk memecut," katanya.
Husni Aizat pula berkata beliau turut tertekan dengan keadaan trek yang tidak sesuai dengan penataan jenteranya.