GP Mexico: Rosberg puas hati dengan tempat kedua

Astro Arena
Oktober 31, 2016 03:19 MYT
Rosberg mampu meraih kejuaraan dunia sulung musim ini jika dia berjaya mendominasi GP Brazil yang akan berlangsung dua minggu dari sekarang. - Clive Mason/Getty Images/AFP
PENDAHULU kejuaraan Formula 1, Nico Rosberg mengakui dia cukup berpuas hati dengan perlumbaan di GP Mexico meskipun meraih tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Lewis Hamilton.
Hamilton meraih kemenangan ke-51 dalam kariernya tatkala Mercedes mengungguli kedudukan satu dua.
Kemenangan pada Ahad memastikan Hamilton kekal dalam perebutan kejuaraan musim ini meskipun ketinggalan 19 mata di belakang Rosberg.
Bercakap di sidang media, Rosberg berkata: "Lewis cukup laju minggu ini, saya perlu berpuas hati dengan kedudukan kedua.
'Kami menempuh saingan yang cukup sengit hari ini. Pada awal perlumbaan saya dipaksa berkerja keras menghadapi cabaran dari Max (Verstappen), jadi pada saya menduduki tempat kedua sudah cukup bagus."
Rosberg mampu meraih kejuaraan dunia sulung musim ini jika dia berjaya mendominasi GP Brazil yang akan berlangsung dua minggu dari sekarang.
"Ketika ini saya mahu memikikrkan perkara yang saya terlepas pandang harini.
"Namun, sudah tentu saya akan fokus terhadap perlumbaan seterusnya pada hari esok.
"Saya akan kekal dengan rancangan saya untuk cuba menang di sana nanti."
#F1 #Formula 1 #GP Mexico #Lewis Hamilton #Mercedes #Nico Rosberg