GP Malaysia tarik 182,912 penonton, SIC kini fokus tambah baik litar
Bernama
November 13, 2023 11:25 MYT
November 13, 2023 11:25 MYT
SEPANG: Kejuaraan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2023 yang berlangsung selama tiga hari menutup tirainya secara rasmi semalam, dengan menarik seramai 182,912 penonton menyaksikan acara tahunan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif bersyukur, apabila kehadiran musim ini mengatasi jumlah 163,567 penonton tahun lepas, hasil kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus memastikan perjalanan perlumbaan berprestij itu berjalan lancar.
Beliau berkata selepas kejayaan itu, pihaknya kini akan mengalihkan tumpuan kepada penambahbaikan permukaan SIC mengikut saranan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) sebelum Ujian Pra Musim Grand Prix (MotoGP) 2024, dijangka bermula Februari depan.
"Kita ada dapat maklum balas daripada FIM dan Dorna Sports untuk buat sedikit penambahbaikan di selekoh 7 (ada bump) dan 9 yang perlu diperbaiki, sebelum tahun hadapan.
"Alhamdullilah tiada insiden yang besar kerana walaupun ada pelumba jatuh, tiada yang teruk tahun ini. Jadi kita akan duduk balik dengan pihak kontraktor macam mana boleh ditambah baik," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seramai 21,364 penonton direkodkan hadir ke SIC pada Jumaat, diikuti 70,911 (Sabtu) dan 90,637 semalam.
Saingan GP Malaysia menyaksikan pelumba Ducati Lenovo Team Enea Bastianini merangkul kemenangan pertamanya musim ini, selepas memenangi perlumbaan kelas MotoGP, sementara Fermin Aldeguer dari Beta Tools SpeedUp menjuarai kelas Moto2, manakala Collin Veijer dari Liqui Moly Husqvarna Intact GP memenangi gelaran Moto3. - BERNAMA