GP Malaysia: Damok sahut cabaran untuk berada di kelompok utama

Bernama
Ogos 16, 2022 05:30 MYT
Damok yang kini menduduki tempat kedua daripada 26 pelumba dalam kedudukan Junior GP dengan 97 mata, bakal beraksi buat kali kelima di saingan Moto3 menerusi tiket wild card. - Foto Instagram/syarifuddinazman
KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara Syarifuddin Azman bertekad untuk berada dalam kelompok hadapan meskipun hanya beraksi atas tiket wild card' Moto3 pada pentas Kejuaraan MotoGP di Grand Prix (GP) Malaysia 2022, Oktober ini.
Syarifuddin, yang lebih dikenali sebagai Damok, berkata ia sebagai menyahut cabaran Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, yang tidak berpuas hati dengan prestasi ditonjolkannya pada beberapa perlumbaan sebelum ini.
"Saya sangat teruja untuk sahut cabaran CEO (Azhan Shafriman) untuk menamatkan saingan di kelompok hadapan di perlumbaan ini, jadi saya akan buktikan kepada beliau.
"Pernah sertai beberapa perlumbaan menerusi tiket wild card sebelum ini, tapi saya hanya di kedudukan ke-19 (perlumbaan di GP Catalunya). Ramai kecewa dengan keputusan saya, tapi saya akan buktikan saya boleh buat," katanya pada sidang media selepas pelancaran GP Malaysia 2022 di Dewan Filharmonik Petronas, di sini, semalam.
Pelumba berusia 21 tahun itu, mahu menjadikan saingan Kejuaraan Dunia JuniorGP FIM di Misano World Circuit pada September, sebagai pentas buatnya membuat persediaan sebelum berentap di Sepang bermula 21-23 Okt ini.
Damok yang kini menduduki tempat kedua daripada 26 pelumba dalam kedudukan Junior GP dengan 97 mata, bakal beraksi buat kali kelima di saingan Moto3 menerusi tiket wild card.
Beliau membuat penampilan pertama di GP Aragon pada musim lepas dengan kedudukan ke-13, kemudian hanya meraih kedudukan ke-24 di GP Portugal (22-24 April), tempat ke-22 di GP Sepanyol (29 April-1 Mei) dan tempat ke-19 di GP Catalunya (3-5 Jun) pada musim ini.
Sementara itu, Azhan Shafriman berharap Damok mampu mencapai sasarannya untuk berada dalam kelompok 10 pelumba teratas pada perlumbaan itu.
Jangkaan saya kepada Damok tidak kurang untuk berada dalam kelompok teratas perlumbaan, harap dia boleh memberi saingan terbaik, malah kelebihannya beraksi di laman sendiri dan telah berlatih di sini berkali-kali.
"Saya menaruh kepercayaan kepadanya dan saya harap dia boleh menerima cabaran saya untuk perlumbaan akan datang ini," katanya.
Bagi Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz pula, beliau berharap pelumba muda itu mampu berada pada kedudukan kelima teratas pada perlumbaan berkenaan.
-- BERNAMA
#gp malaysia #Syarifuddin Azman #Damok #Azhan Shafriman Hanif
;