GP Malaysia: Damok 'kecewa' gagal lebih pantas

Bernama
Oktober 23, 2022 07:00 MYT
Syarifuddin ketika sidang media sempena perlumbaan Petronas Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang, 21 Okt 2022. -- Gambar fail BERNAMA
SEPANG: Pelumba muda negara Syarifuddin Azman tidak berpuas hati dengan persembahannya selepas menamatkan saingan Moto3 di tempat ke-16 pada Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia, semalam.
Syarifuddin yang lebih dikenali sebagai Damok menyifatkan prestasinya dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini sedikit sebanyak dipengaruhi tetapan jentera yang digunakan.
Pelumba kelahiran Terengganu berusia 20 tahun itu yang berlumba atas tiket wild card bersama Vision Track Racing Team mencatatkan masa 38 minit dan 19.401 saat (s) selepas bermula di petak ke-21.
"Pada awal perlumbaan, saya berada dalam top 15 dan cuba untuk memintas pelumba lain, namun susah bagi saya untuk kejar mereka sebab ketinggalan semasa di jalan lurus.
"Namun, saya masih cuba untuk kekalkan momentum dan hanya berjaya tamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16. Saya rasa tiada kelemahan yang perlu diperbaiki cuma masalah dekat jentera saja," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.
Dalam saingan itu, John McPhee dari Great Britain yang beraksi bersama pasukan Sterilgarda Husqvarna Max menamatkan cabaran di tempat pertama dengan catatan masa 38:04.589s, serta rakan sepasukan Ayumu Sasaki dari Jepun di tempat kedua (38:04.637s).
Pelumba Sepanyol Sergio Garcia pula berada di kedudukan ketiga selepas mencatatkan 38:04.735s bersama pasukan Gaviota GASGAS Aspar.
Walaupun tidak dapat menamatkan saingan di podium, Damok masih positif mampu menampilkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia JuniorGP di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada 30 Okt ini.
Jumaat lepas, Damok diumum secara rasmi akan menyertai saingan Moto3 secara musim penuh bermula tahun depan bersama pasukan MTHelmets-MSI.
-- BERNAMA
#MotoGP #sukan pemotoran #Damok #Litar Antarabangsa Sepang
;