GP Itali: Hafizh Syahrin duduki tempat ke-9

Bernama
Mei 31, 2021 15:18 MYT
Hafizh masih boleh berbangga dengan penambahbaikan motosikalnya, dengan buat kali pertamanya menamatkan perlumbaan dalam kalangan 10 terbaik, sejak menyertai pasukan itu dan membawa pulang tujuh mata. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaan beliau menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan di Grand Prix (GP) Itali semalam, yang merupakan kedudukan terbaiknya musim ini, kepada mendiang Jason Dupasquier.
"Ini untuk Jason, yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula," kata Hafizh menerusi satu video.
Pelumba Moto3 berusia 19 tahun dari Switzerland meninggal dunia, selepas mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan melibatkan beberapa pelumba ketika sesi kelayakan di Sirkit Mugello, pada Sabtu, seperti diumumkan MotoGP sebelum perlumbaan itu semalam.
Walaupun memulakan perlumbaan dari tempat ke-20, pelumba NTS RW Racing GP itu, melakukan tungganggan cemerlang untuk memintas seorang demi seorang pelumba, untuk berada di tempat kelapan pada pusingan terakhir.
Bagaimanapun pelumba kelahiran Selangor berusia 26 tahun itu, dipintas pelumba pasukan American Racing Dream, Cameron Beaubier di garisan penamat, sekaligus Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan, 34.849 saat di belakang pelumba Red Bull KTM Ajo Remy Gardner yang memenangi perlumbaan dengan catatan masa 39 minit dan 17.667 saat.
Rakan sepasukan Remy, Raul Fernandez (+0.014) di tempat kedua, manakala pelumba Sky Racing Team Marco Bezzecchi (+8.021), ketiga.
Hafizh masih boleh berbangga dengan penambahbaikan motosikalnya, dengan buat kali pertamanya menamatkan perlumbaan dalam kalangan 10 terbaik, sejak menyertai pasukan itu dan membawa pulang tujuh mata.
"Syukur tempat kesembilan, walaupun saat terakhir dipotong Cameron. Laluan lurus agak sukar untuk saya nak dapatkan kelajuan. Saya dah cuba yang terbaik, tetapi banyak kali pelumba lain memotong saya di laluan lurus.
"Saya cuba lawan di 'breaking', selekoh, untuk pintas...pusingan terakhir itu saya cuba menjarakan diri, tapi laluan lurus itu agak suka,r kerana motosikal saya masih kekurangan aerodinamik atau kelajuan. Apapun, terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan penaja, atas sokongan selama ini," katanya.
Sementara itu pelumba Petronas Sprinta Racing Jake Dixon menamatkan perlumbaan di tempat ke-14, manakala Xavi Vierge tidak menamatkan perlumbaan.
Darryn Binder pula beraksi cemerlang dalam kelas Moto3 dengan menduduki tempat keempat, manakala rakan sepasukan John McPcee berada di tempat ketujuh.
Dalam kelas MotoGP, bekas juara dunia Valentino Rossi menduduki tempat ke-10, manakala rakan sepasukan Franco Morbidelli, menduduki tempat ke-16 untuk pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team.
-- BERNAMA
#Hafizh Syahrin #pelumba motor #Grand Prix #Itali #GP Itali #Moto3 #Jason Dupasquier
;