GP F1 China: Hatrik buat Hamilton, kali ke-empat buat Mercedes

Astro Awani
April 20, 2014 17:46 MYT
Lewis Hamilton
LEWIS Hamilton dan rakan sepasukan Nico Rosberg menguasai Grand Prix Formula 1 China di Shanghai pada Ahad.
Mereka menduduki tempat pertama dan kedua – kali ke-empat Mercedes memenangi tempat teratas musim F1 GP tahun ini. Ini merupakan kemenangan hatrik bagi Hamilton tahun ini, kemenangan peribadinya yang ke-25 sepanjang kariernya dalam sukan Formula 1.
Hamilton memulakan perlumbaan dari petak pertama dan tidak menyerahkan kedudukan ini sepanjang 56 pusingan litar Shanghai. Rakannya Rosberg hilang tempat ke-2 dan turun sementara ke tempat ke-6 tetapi dapat merampas tempat asal dan mengukuhkan kedudukannya tidak lama kemudian.
Fernando Alonso pula menghabiskan perlumbaan dengan bergaya dan berjaya mendapat tempat di podium buat kali pertama tahun ini, menghabiskan perlumbaan di tempat ke-3.
Juara musim lalu Sebastian Vettel hanya mampu meraih tempat ke-5, sementara rakan sepasukannya Daniel Ricciardo menghabiskan perlumbaan satu tempat diatasnya.
Perlumbaan seterusnya adalah GP Sepanyol yang akan diadakan di Barcelona.
Kedudukan Pemandu setelah 4 perlumbaan : 1) Rosberg (79); 2) Hamilton (75); 3) Alonso (41)
#China #F1 #Formula One #Lewis Hamilton #Shanghai
;