Goss berhijrah ke QPR dari United kerana terpaksa

Astro Arena
Januari 29, 2017 14:18 MYT
Goss (gambar) berkata dia berminat untuk bermain secara tetap. - Gambar Twitter
QPR mengesahkan telah menandatangani pemain tengah, Sean Goss, dari Manchester United dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.
Goss gagal memecah masuk ke dalam skuad utama di Old Trafford, dengan tempohnya di kelab itu turut terganggu dengan masalah kecederaan.
Bagaimanapun, pengurus QPR, Ian Holloway, percaya pemain berusia 21 tahun berkenaan mampu membawa kualiti kepada kelab Liga Kejuaraan itu.
"Dia seorang pemain tengah. Apa yang saya mahukan untuk tempoh jangka panjang adalah pemain di bahagian tengah dengan kemampuan membuat hantaran pelbagai yang boleh menawarkan kepada kami sesuatu yang sedikit berbeza," kata Holloway.
"Dia seorang pemain muda yang berpotensi besar. Saya rasa ada pemain dalam Manchester United yang sedikit hilang arah kerana mereka sentiasa mendapat pemain yang terbaik daripada yang terbaik.
"Saya percaya dia akan berkembang menjadi pemain terbaik bersama QPR, bekerjasama dengan pemain lain yang kami ada di sini. "
Goss, yang diumumkan di Loftus Road sebelum QPR tewas 1-2 kepada Burton Albion dalam aksi Liga Kejuaraan, awal pagi tadi, berkata dia berminat untuk bermain secara tetap.
"Saya gembira perjanjian itu dimeterai," kata Goss. "Sekarang saya perlu bermain dalam pasukan utama, minggu ke minggu. Jadi peluang untuk berpindah ke QPR hanya sesuatu yang saya terpaksa kejar."
#Ian Holloway #Manchester United #QPR #Sean Goss
;