Google uji ciri AI antikecurian bagi telefon pintar Android di Brazil

Bernama
Jun 12, 2024 17:07 MYT
Google mengumumkan ciri baharu menggunakan AI bagi melindungi data pengguna sekiranya telefon pintar Android dicuri. -Gambar fail
RIO DE JANEIRO: Google pada Selasa mengumumkan ciri baharu yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi melindungi data pengguna sekiranya telefon pintar Android dicuri, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Brazil akan menjadi negara pertama menguji sistem baharu ini, kata Pengarah Google Brazil, Fabio Coelho dalam satu catatan blog pada Selasa.
"Maklum balas pengguna Brazil telah memberi inspirasi kepada ciri antikecurian ini dan negara ini akan menjadi yang pertama untuk mencubanya," kata Coelho.
Mulai Julai, pengguna di Brazil yang memiliki peranti Android yang bersesuaian akan dapat mengakses versi beta kunci pengesanan kecurian Google, kunci peranti luar talian dan kunci jarak jauh.
Kunci pengesanan kecurian menggunakan AI untuk mengesan pergerakan yang biasanya dikaitkan dengan kecurian dan mengunci skrin telefon dengan cepat, bertujuan menghalang pencuri daripada mudah mengakses data pada peranti itu.
Kunci peranti luar talian pula secara automatik mengunci skrin peranti untuk membantu melindungi data walaupun tidak disambungkan ke rangkaian.
"Skrin telefon juga akan dikunci sekiranya terdapat percubaan pengesahan yang gagal berulang kali.
Sementara itu, kunci jarak jauh akan membolehkan pengguna mengakses 'Find My Device' tanpa perlu mengingati kata laluan akaun Google mereka, membolehkan mereka mengunci peranti mereka dari jarak jauh.
Ciri keselamatan Google Play Protect juga akan tersedia di Brazil mulai Julai, yang bertujuan memastikan keselamatan data pengguna apabila memuat turun aplikasi dari sumber seperti pelayar laman sesawang dan aplikasi pemesejan.
-- BERNAMA
#Android #Google #antikecurian #AI
;