Google Chrome dikemas kini dengan ciri AI dan Lens seakan Circle to Search

Amanz
Ogos 2, 2024 04:40 MYT
Pengguna akan melihat icon Lens di dalam tingkap alamat Chrome. Apabila ditekan pengguna boleh memilih sebahagian skrin yang mengandungi kandungan yang ingin dicari. -Amanz
SEPERTI yang telah dilaporkan oleh kami sebelum ini, ciri seakan Circle to Search akan tiba ke Google Chrome.
Hari ini Chrome telah dikemas kini dan ciri Google Lens baharu kini boleh diakses.
Pengguna akan melihat icon Lens di dalam tingkap alamat Chrome. Apabila ditekan pengguna boleh memilih sebahagian skrin yang mengandungi kandungan yang ingin dicari.
Tingkap tepi Lens akan dibuka dengan memberikan keputusan carian yang relevan.
Kerana ia dikuasai oleh kecerdasan buatan (AI) pengguna boleh memperhalusi carian dengan memberikan konteks lain seperti menukar warna misalnya.
Ia juga boleh memberikan jawapan kepada soalan matematik yang sedang dilihat pada skrin. Kesemua ciri ini adalah sama dengan yang boleh dilakukan oleh Circle to Search pada Galaxy Z Fold6 dan Z Flip6 sekarang.
Seterusnya terdapat ciri membandingkan antara tab Chrome. Sekiranya anda membuka tiga tab untuk speaker, Chrome boleh disuruh untuk membandingkan ketiga-tiganya dalam sebuah tab perbandingan baharu.
Akhir sekali ciri AI membantu pengguna Chrome untuk mencari semula laman web yang pernah dilawati. Pengguna boleh melakukan pertanyaan mengenai laman yang pernah dilawati di dalam tab Search History.
Pertanyaan boleh dilakukan seperti bercakap dengan manusia dan Chrome kemudian akan memberikan pautan yang berkaitan dengan soalan yang diberikan. -Amanz
#Circle to Search #Chrome #Google Lens #ciri baharu