Golf Terbuka PGA: Mickelson cipta sejarah tersendiri dinobat juara tertua
Astro Arena
Mei 24, 2021 11:46 MYT
Mei 24, 2021 11:46 MYT
PHIL Mickelson sentiasa memiliki kepercayaan mampu mengakhiri kemarau gelarannya di sebalik keraguan ramai selepas pemain veteran itu menggondol Kejohanan Golf PGA Amerika Syarikat (AS).
Mickelson muncul juara kejohanan utama tertua hasil kelebihan dua pukulan Kiawah Island, Selatan Carolina, sebentar tadi.
Pemain berusia 50 tahun itu -- yang memadam pencapaian Julius Boros (48 tahun dan empat bulan dalam Kejuaraan PGA 1968) -- belum berkesempatan menawan Jelajah PGA sejak 2019 sementara kejayaan terakhirnya adalah dalam Kejohanan Terbuka 2013.
Namun, Mickelson mengetepikan segala kesangsian terhadap kemampuan termasuk faktor usia bagi menjulang gelaran utama keenamnya merangkap trofi Jelajah PGA peribadi ke-45 dengan mengatasi pencabar terdekat, Louis Oosthuizen dan Brooks Koepka.
"Ini adalah hari yang luar biasa dan sampai sekarang pun saya tidak pernah membiarkan diri memikirkan kedudukan," katanya dalam sidang akhbarnya selepas merakam pusingan akhir itu dengan 73 pukulan untuk menamatkan saingan dengan 6 di bawah par.
"Saya sentiasa berusaha memikirkan aksi ketika itu sahaja dan tidak terbawa-bawa memikirkan terlalu jauh. Saya cuba menutup minda daripada memikirkan perkara yang sedang berlaku. Saya tidak menonton TV. Saya tidak ' menggunakan telefon bimbit. Saya hanya berusaha menenangkan fikiran agar tidak berkecamuk dan saya hanya cuba kekal tenang.
"Sejak sekian lama saya sudah percaya bahawa saya masih mampu terus beraksi di tahap ini. Saya tidak nampak mengapa saya tidak mampu melakukannya cuma saya tidak dapat melaksanakan pendekatan yang dihajati.
"Dengan bantuan ramai terutama isteri saya, Andrew Getson dan saudara saya; Tim dan Steve Loy, saya mampu mencapai kemajuan dalam minggu ini.
"Ini detik yang sangat menggembirakan kerana saya mampu berkesempatan untuk kekalkan permainan, menjadi lebih fokus dan di tahap fizikal pula, saya mampu melaksanakannya dan beraksi seperti yang pernah saya idamkan cuma tidak dapat melihat gambaran yang jelas.
"Walaupun saya mempercayainya hingga ia tercapai, saya yakin timbul banyak keraguan."
Kejayaan Mickelson itu turut mengundang pujian daripada pemenang 15 gelaran utama, Tiger Woods, yang menghamburkan pujiannya di sosial media.
#Phil Mickelson
#Golf Terbuka PGA
#sejarah
#50 Tahun
#pemain veteran
#Tiger Woods
#Amerika Syarikat
#golf
#Julius Boros
#faktor usia
#Jelajah PGA
#Louis Oosthuizen
#Brooks Koepka