Golf: Gavin layak ke Olimpik buat kali ketiga
Bernama
Jun 18, 2024 18:19 MYT
Jun 18, 2024 18:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional Malaysia Gavin Green melayakkan diri buat kali ketiga berturut-turut ke Olimpik selepas berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan 60 pemain terbaik dunia.
Ringkasan AI
- Pemain golf profesional Malaysia, Gavin Green, melayakkan diri untuk kali ketiga berturut-turut ke Olimpik selepas menduduki tangga ke-53 dalam Ranking Golf Olimpik (OGR).
- Pada temasya Olimpik sebelumnya, Gavin menamatkan saingan di tempat ke-47 di Rio 2016 dan ke-57 di Tokyo 2020.
- Pemain golf wanita negara, Ashley Lau, berpeluang melakukan debut Olimpik di Paris selepas menduduki tempat ke-49 dalam OGR sebelum tarikh akhir kelayakan pada 24 Jun.
Atlet berusia 30 tahun itu mendapat tempat di Paris 2024 yang akan membuka tirai bulan depan selepas menduduki tangga ke-53 dalam Ranking Golf Olimpik (OGR) yang dikemas kini hari ini.
Pada penampilan sulungnya di temasya itu di Rio 2016, Gavin menamatkan saingan di tempat ke-47 manakala di Tokyo 2020, beliau terikat di kedudukan ke-57 bersama Rafael Campos dari Puerto Rico.
Sementara itu, pemain golf wanita negara Ashley Lau turut dilihat berpeluang untuk melakukan debut Olimpik di Paris setelah menduduki tempat ke-49 dalam OGR sebelum tarikh akhir kelayakan ke Olimpik, 24 Jun ini.
Pada temasya itu, sukan golf akan dipertandingkan di Le Golf National di Yvelines melibatkan 120 pemain bermula 1 hingga 10 Ogos.
"IGF (Persekutuan Golf Antarabangsa) menggunakan Ranking Golf Dunia untuk menghasilkan OGR sebagai kaedah menentukan kelayakan. Pemain pada ranking 15 terbaik dunia akan layak untuk Olimpik, dengan had empat pemain dari sesuatu negara.
"Lewat 15 terbaik, pemain akan layak berdasarkan ranking dunia, dengan maksimum dua pemain yang layak dari setiap negara yang belum mempunyai dua atau lebih pemain dalam senarai 15 terbaik," menurut IGF.
-- BERNAMA