Golf: Gavin kekok kembali jalani latihan di lapangan

Astro Arena
Mei 5, 2020 05:15 MYT
GAVIN: Sudah dua bulan saya tidak memegang kayu golf, jadi badan saya agak keletihan tetapi saya gembira dapat kembali berlatih. - Astro ARENA
RASA kekok, kata pemain golf negara, Gavin Kyle Green, sebagai antara atlet pertama negara dapat kembali menjalani latihan selepas hampir dua bulan tidak dapat melakukannya berikutan pandemik Covid-19.
Berikutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memberikan keutamaan buat tiga sukan yang sedang memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan, iaitu golf, memanah dan pelayaran, untuk kembali menjalani latihan.
Jelas Gavin, dia dapat melepaskan rindunya untuk kembali berlatih, namun tetap berasa kekok memandangkan ia merupakan latihan pertamanya di lapangan sejak dua bulan lalu.
"Ia berasa amat baik kerana saya dapat kembali berjemur di bawah terik matahari.
"Selepas terlalu lama berada di rumah, amat baik untuk dapat kembali berada di luar.
"Tetapi seperti yang ramai perkatakan mengenai penjarakan sosial, anda perlu berhati-hati.
"Hanya perlu bijak dalam melakukan setiap perkara tetapi ia amat baik untuk dapat kembali berlatih di luar.
"Sudah dua bulan saya tidak memegang kayu golf, jadi badan saya agak keletihan tetapi saya gembira dapat kembali berlatih," katanya.
Mengenai tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, Gavin menambah: "Saya lihat peluangnya amat baik dan kita semua tahu bahawa ia ditunda selama setahun.
"Jadi, sistem kelayakannya juga dilanjutkan beberapa bulan sehingga tahun depan.
"Kini saya ada masa untuk mengumpulkan mata kelayakan dan saya perlu mengekalkan kedudukan untuk melayakkan diri," tambahnya.
#atlet #COVID-19 #Gavin Kyle Green #golf #kembali berlatih #latihan #Majlis Olimpik Malaysia #MOM #MSN #Olimpik #penjarakan sosial #PKP #PKPB #sukan #Sukan Olimpik Tokyo #Tokyo
;