Gol solo Shaqiri lengkapkan kebangkitan Switzerland

Israr Khalid
Jun 22, 2018 06:00 MYT
Xherdan Shaqiri menjaringkan gol kedua untuk Switzerland di Stadium Kaliningrad, Rusia, 22 Jun, 2018. REUTERS
Dua gol cantik menjadi tanda kebangkitan hebat Switzerland menentang Serbia disaksikan 33,167 penonton di Stadium Kaliningrad pada lewat petang Jumaat.
Serbia menguasai separuh masa pertama dengan gol awal pada minit kelima oleh tandukan Aleksandar Mitrovic meletakkan The White Eagles di depan sehingga tamat 45 minit.
Gol roket dari luar petak penalti Granit Xhaka mengejutkan keselesaan Serbia selama 52 minit, sebelum larian solo Xherdan Shaqiri pada minit terakhir perlawanan mencetus gegak gempita para penyokong Die Nati.
Pemain Stoke City itu menerima bola lorongan Mario Gavranovic dan memecut dari tengah sebelum menewaskan penjaga gol Serbia, Vladimir Stojkovic dan membuka baju meraikan gol yang amat bermakna itu.
Atas kemenangan itu, Switzerland menjadi pasukan pertama dalam edisi Piala Dunia kali ini yang bangkit daripada ketinggalan mencatat kemenangan selepas wisel penamat dibunyikan.
Mereka akan disahkan layak ke pusingan 16 terakhir dengan sekurang-kurangnya satu mata daripada pertemuan menentang Costa Rica pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan E.
Switzerland kini di tempat kedua di belakang Brazil yang berkongsi empat mata cuma dibezakan jumlah gol, Serbia di tempat ketiga dengan tiga mata manakala Costa Rica tersingkir apabila gagal mengutip sebarang mata.
Sementara Serbia masih berpeluang meloloskan diri ke peringkat kalah mati hanya dengan mengalahkan Brazil pada jam 2 pagi 28 Jun ini (waktu Malaysia).
#Granit Xhaka #Kaliningrad #Piala Dunia #Piala Dunia AWANI #Raya Bola 2018 #Rusia #Serbia #Switzerland #Xherdan Shaqiri
;