Gol penyamaan Aguero nafi Terengganu raih tiga mata di Kuantan

Bernama
Oktober 29, 2023 00:23 MYT
Terengganu FC mensia-siakan peluang terbaik meraih kemenangan bermakna selepas mendahului dua gol apabila seri 2-2 ketika bertemu Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam ini. - Foto Facebook MFL
KUANTAN: Terengganu FC mensia-siakan peluang terbaik meraih kemenangan bermakna selepas mendahului dua gol apabila seri 2-2 ketika bertemu Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, malam ini.
Skuad Penyu yang tewas 0-4 kepada Selangor FC sebelum ini, memulakan aksi dengan baik sebelum menguji gawang pasukan tuan rumah pada minit ke-17 menerusi rembatan kencang pemain naturalisasi Liridon Krasniqi yang berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Namun, Mohd Izham tertewas jua beberapa minit kemudian selepas pemain import kelahiran Sweden, Omid Nazari mudah menanduk masuk bola sepakan penjuru Liridon pada minit ke-25 untuk menjadikan kedudukan 1-0 berpihak anak buah Tomislav Steinbruckner.
Usaha pasukan tuan rumah memburu gol penyamaan berjaya dinafikan penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim selepas bijak membaca arah sepakan pemain kebangsaan Filipina, Kevin Langbehn Ingreso pada minit ke-39.
Di sebalik keghairahan Sri Pahang melancarkan serangan, Terengganu menambah jaringan kedua pada minit ke-71 menerusi sepakan percuma cantik Nazari untuk meledak gol peribadi keduanya dan meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0.
Bagaimanapun, hasrat Terengganu untuk membawa pulang tiga mata musnah selepas Sri Pahang bangkit meledak dua gol dalam tempoh singkat pada lewat perlawanan.
Episod kebangkitan anak buah Fandi Ahmad itu bermula selepas penyerang import dari Brazil,Rafael Feital Da Silva meledak gol pertama pada minit ke-78 sebelum pemain naturalisasi Sergio Aguero muncul wira pasukan menjaringkan gol penyamaan dua minit berselang.
Keputusan seri itu menyaksikan Sri Pahang kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul 44 mata sementara Terengganu turut tidak berganjak dari posisi keenam selepas memungut 36 mata.
-- BERNAMA
#sepakan percuma #penyerang impoer #pemain naturalisasi #gol penyamaan
;