Gol kelas dunia Al Haydos kekal rekod bersih Qatar, Tajikistan cipta sejarah tersendiri
Bernama
Januari 22, 2024 07:00 MYT
Januari 22, 2024 07:00 MYT
DOHA: Jaringan berkelas dunia, Hassan Al Haydos pada separuh masa kedua memastikan tuan rumah, Qatar mara ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 dengan bergaya selepas mengatasai China 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan A, malam tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan skuad The Maroons bimbingan Tintin Marques mengumpul mata maksimum untuk melangkah ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan dalam misi mempertahankan kejuaraan di laman sendiri.
Pada aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa di Bandar Al Rayyan, kira-kira sembilan kilometer, dari sini, keputusan Marquez merehatkan beberapa pemain utama menyaksikan China tampil dengan permainan yang lebih menyakinkan pada separuh masa pertama dengan mencipta beberapa percubaan berbahaya.
Pemain sayap China, Wei Shihao terlepas peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-36 selepas rembatan kaki kanannya dari jarak dekat tepat ke arah gol yang berjaya ditepis keluar penjaga gol Saad Al Sheeb.
Kedua-dua pasukan kemudian mempunyai peluang untuk meledak jaringan dengan rembatan Khalid Muneer sedikit tersasar di kanan gawang pada minit ke-43 manakala tandukan Zhang Yuning berpunca sepakan penjuru juga sedikit melewati palang gol pada penghujung babak pertama.
Bersambung babak kedua, kemasukan pemain sensasi Akram Afif dan Al Haydos pada minit ke-64 ternyata memberi impak positif dengan gandingan dua pemain ini tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol kemenangan pasukan dua minit berselang.
Al Haydos menjaringkan gol kemenangan yang boleh dianggap gol terbaik pertandingan setakat ini apabila beliau yang menerima hantaran sepakan penjuru Afif tidak teragak-agak melepaskan rembatan voli dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan Yan Junling di gawang.
Kekalahan itu menyaksikan China, yang dibimbing Aleksandar Jankovic tersingkir, daripada pertandingan selepas hanya mengutip dua mata di kedudukan ketiga sekali gus tidak berpeluang mencabar kedudukan empat pasukan di posisi ketiga terbaik untuk ke pusingan seterusnya.
Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Tajikistan mencipta sejarah tersendiri pada penampilan sulung di Piala Asia apabila mara ke pusingan 16 terbaik selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lubnan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Pada perlawanan di Stadium Jassim bin Hamad itu, gol kemenangan Tajikistan bimbingan Petar Segrt dijaringkan pemain gantian Nuriddin Khamrokulov pada masa kecederaan babak kedua selepas Parvizdzhon Umarbayev menyamakan kedudukan pada minit ke-80.
Terdahulu Lubnan meledak gol sulung pada kempen kali ini menerusi Bassel Jradi hanya selepas dua minit babak kedua bersambung, namun kegembiraan itu bertukar tragedi apabila pemain pertahanan Kassem Al Zein dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Alisher Dzhalilov pada minit ke-56.
Kejayaan mengutip tiga mata itu melonjakkan Tajikistan ke kedudukan kedua dengan mengumpul empat mata sekali gus muncul naib juara kumpulan sementara Lubnan kendalian Miodrag Radulovic menamatkan kempen di kedudukan terakhir dengan membawa pulang satu mata
Pada pusingan 16 terbaik, Tajikistan dijadual membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan C yang masih belum dimuktamadkan manakala Qatar akan menanti pasukan ketiga terbaik antara Kumpulan C, D atau E.
-- BERNAMA