Gol ajaib: Faiz Subri dapat insentif khas RM10,000
Astro Awani
Februari 18, 2016 18:41 MYT
Februari 18, 2016 18:41 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang mengurniakan insentif khas RM10,000 kepada penjaring gol sensasi, Mohd Faiz Subri di atas kejayaannya menjaringkan gol 'ajaib' ketika perlawanan menentang Pahang Selasa lalu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan ia merupakan insentif istimewa sebagai meraikan kejayaan Mohd Faiz yang berjaya mencuri tumpuan dunia sekali gus menyuntik imej positif negeri dan negara di mata antarabangsa.
"Kerajaan negeri meraikan kejayaannya buat kali pertama dan bola dikaitkan kecemerlangan, maka kerajaan negeri ingin raikan detik sejarah dengan memberikan satu sumbangan istimewa kepada Mohd Faiz.
"Kita juga harap boleh menang Anugerah FIFA Puskas 2016," kata Guan Eng selepas menyampaikan insentif tersebut di pejabatnya di Komtar, di sini siang tadi.
Dalam pada itu, pemain tengah Pulau Pinang itu menyifatkan sumbangan istimewa ini sedikit sebanyak menjadi suntikan semangat buat dirinya agar lebih fokus untuk perlawanan akan datang.
Gol 'ajaib' itu merupakan gol ketiga skuad Harimau Kumbang dalam perlawanan yang menyaksikan Pahang kecundang dengan keputusan 4-1.
Sepakan percuma oleh Mohd Faiz itu nyata meninggalkan impak luar biasa apabila ia menjadi trending di seluruh dunia.
Warga media sosial turut menyamakan gol berkenaan dengan sepakan percuma oleh bintang pertahanan Brazil, Roberto Carlos pada 1997.