Goh V Shem sasar rebut tempat Piala Thomas di samping gandingan baru

Astro Arena
Ogos 8, 2021 08:04 MYT
Selepas gagal layak ke temasya Olimpik Tokyo 2020, pasangan regu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dilihat tidak mungkin kembali bergabung untuk mencipta nama di pentas antarabangsa. - Foto Astro ARENA
PENURUNAN prestasi kebelakangan ini menjadi antara punca pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Berbeza dengan gandingannya, V Shem akan meneruskan khidmat sebagai pemain badminton negara dengan menyasarkan Piala Thomas pada Oktober depan sebagai penampilannya yang lebih bertenaga.
Keputusan itu pernah diambil beregu itu pada 2017.
Namun, dengan pencapaian yang pernah dikecapi, masih ada sisa keyakinan untuk mereka kembali bergabung mencipta nama di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, selepas empat tahun, keputusan itu tidak lagi dianggap relevan -- termasuk dipengaruhi kegagalan layak ke temasya Olimpik Tokyo 2020 -- sambil Wee Kiong menegaskan dia kini memiliki perancangan yang lebih baik.
Berat untuk diterima tetapi V Shem tetap menghormati keputusan rakannya itu.
"Saya pun tidak pasti. (Antaranya) keputusan yang tidak berapa bagus selain dia mempunyai pelan tersendiri.
"Dia sudah memutuskan jadi saya menghormati keputusannya.
"Saya akan cari gandingan dan akan terus bermain," katanya di Nadi Arena.
Bagaimanapun, V Shem tetap bersemangat untuk terus berbakti untuk Malaysia.
Kempen Piala Thomas di Denmark pada Oktober depan menjadi sasarannya.
Dia akan bergandingan bersama Low Juan Shen dan perlu membentuk keserasian dalam tempoh yang singkat demi memastikan matlamat yang ditetapkan bukanlah satu angan kosong.
"Untuk Piala Thomas, terpulang kepada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tapi saya sedia mewakili negara."
#BAM #Denmark #badminton #sukan #Piala Thomas #Goh V Shem #Tan Wee Kiong #bawa haluan masing-masing #penampilan lebih bertenaga #Low Juan Shen
;