Goh-Shevon berjaya mara ke peringkat separuh akhir Masters Indonesia

Bernama
Januari 26, 2018 22:45 MYT
Goh-Shevon akan berdepan pilihan keenam, Zheng Siwei-Huang Yaqiong di separuh akhir. - Foto Twitter/@TeamMsia
Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menjadi wakil tunggal Malaysia yang akan meneruskan cabaran selepas dua lagi pasangan beregu negara tersingkir pada Kejohanan Badminton Masters Indonesia di Jakarta, hari ini.
Beregu bukan pilihan itu mencipta kejutan apabila menewaskan rakan senegara yang juga pilihan ketujuh, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing; 15-21, 21-16 dan 21-16 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Istora Senayan, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.
Goh-Shevon akan berdepan pilihan keenam, Zheng Siwei-Huang Yaqiong di separuh akhir esok, selepas gandingan dari China itu mengejutkan pilihan keempat, Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong; 21-14, 21-15 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Dalam pada itu, beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, ditunjuk jalan keluar pada kejohanan berkenaan selepas tumpas 18-21, 22-20 dan 12-21 kepada pilihan ketiga, Liu Cheng-Zhang Nan dari China.
Cabaran Malaysia dalam tiga kategori - perseorangan lelaki serta perseorangan dan beregu wanita, berakhir selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing pada pusingan awal.
-- BERNAMA
#badminto #beregu campuran #goh soon huat #Lai Pei Jing #Masters Indonesia #Shevon Jemie Lai #Tan Kian Meng
;