Goh Liu Ying turun berlatih walaupun belum pulih sepenuhnya

Astro Arena
September 20, 2021 06:15 MYT
Goh (kanan) masih merawat kecederaan lutut yang dialami dalam Sukan Olimpik Tokyo. - Gambar fail/Astro ARENA
GOH Liu Ying enggan memanjakan kecederaan yang dialaminya, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan sebelum beraksi dalam Terbuka Denmark, 19 hingga 24 Oktober depan.
Biarpun masih merawat kecederaan lutut yang dialami dalam Sukan Olimpik Tokyo, pemain beregu campuran itu tetap gigih menjalani sesi pemulihan dan latihan secara serentak.
"Saya agak berhati-hati ketika berlatih sebab (kecederaan ini) baru sembuh. Saya tidak mahu ia bertambah buruk.
"Tetapi saya tidak boleh berkongsi apakah bentuk latihan yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Saya melakukan apa yang termampu untuk kembalikan tahap persembahan.
"Paling penting saya boleh menyerlah dalam kejohanan kelak," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016.
Sementara itu, Tan Kian Meng, optimis mampu menggalas cabaran beraksi dalam dua acara, beregu lelaki dan campuran, berdasarkan prestasi semasa dirinya.
"Sebelum ini saya dalam peralihan daripada acara perseorangan ke beregu.
"Kini saya lebih selesa untuk beraksi dalam kedua-dua acara, baik beregu lelaki dan campuran.
"Dengan peluang yang ada ini, saya harap boleh buktikan kemampuan.
"Dalam tempoh sebulan ini saya bergandingan dengan Tan Wee Kiong sebab sebelum ini tidak berpeluang berlatih bersamanya.
"Saya memberitahu jurulatih agar lebih banyak menumpukan perhatian untuk memantapkan gandingan saya dengan Wee Kiong.
"Saya telah memberitahu Lai Pei Jing, saya juga memberi tumpuan (memperkemaskan) gandingan dengannya.
"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri, lagipun ini kali pertama saya akan menyertai kejohanan menerusi beregu lelaki," katanya.
#Goh Liu Ying #badminton #beregu campuran negara #kecederaan lutut
;