Goh-Lai ketuai cabaran Malaysia ke pusingan kedua All England
Bernama
Mac 6, 2019 04:55 MYT
Mac 6, 2019 04:55 MYT
Pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mengetuai cabaran pemain negara mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton All England 2019 di Birmingham, England pada Rabu.
Goh-Lai menempah slot ke pusingan kedua selepas menewaskan gandingan Ronald Ronald-Annika Saufika dari Indonesia; 21-16, 21-11 pada perlawanan pembukaan, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.
Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik turut melangkah ke pusingan seterusnya selepas bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan; 12-21, 21-16, 21-16.
Bekas pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang meninggalkan skuad kebangsaan awal tahun ini, turut meraih tiket ke pusingan kedua apabila menumpaskan Berry Angriawan-Hardianto Hardianto dari Indonesia; 21-14, 17-21, 21-17 dalam aksi pusingan pertama.
Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan wanita, bagaimanapun berakhir selepas dua pemain negara tumpas, masing-masing kepada pemain Jepun.
Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei kalah 20-22, 13-21 kepada Sayaka Takahashi, manakala Soniia Cheah Su Ya terpaksa akur di tangan Aya Ohori; 15-21,16-21.
-- BERNAMA
#all england
#badminton
#Birmingham
#England
#goh soon huat
#Goh V Shem
#Indonesia
#perlawanan pembukaan
#perseorangan wanita
#pusingan kedua
#Shevon Jemie Lai
#Tan Wee Kiong