Gimnas lelaki negara akhiri kemarau emas 12 tahun
Bernama
Ogos 22, 2017 20:50 MYT
Ogos 22, 2017 20:50 MYT
Skuad gimnastik lelaki negara berjaya menamatkan kemarau pingat emas selepas 12 tahun dalam temasya Sukan SEA apabila sekali gus menghadiahkan dua emas pada edisi ke-29 di sini hari ini.
Tanpa diduga, dua emas itu muncul dalam acara kekuda berpelana apabila Jeremiah Loo Phay Xing dan Tan Fu Jie menampilkan aksi cemerlang untuk berkongsi kejuaraan dengan terikat 13.650 mata manakala gangsa menjadi milik gimnas Thailand, Jamorn Prommanee dengan13.250 mata.
Skuad gimnastik artistik lelaki negara kali terakhir menyumbang emas kepada negara adalah menerusi Ng Shu Wai pada temasya Sukan SEA 2005.
Sementara itu, Fu Jie, ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat, memberitahu media bahawa beliau tidak menjangka untuk memenangi emas pada penampilan sulungnya di Sukan SEA.
"Ini adalah kejutan besar bagi diri saya...saya ingin menghadiahkan pingat ini kepada keluarga," katanya.
Jurulatih skuad lelaki, Ng Shu Liang menyifatkan anak buahnya melakukan persembahan yang lebih baik berbanding dengan pencapaian pingat perak dalam acara berpasukan, dua hari lepas.
"Saya boleh melihat gimnas mempunyai tahap keyakinga yang tinggi hari ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi gimnas, Zul Bahrin Mat Asri, melakukan kejutan apabila memperoleh pingat perak dalam acara senam lantai 13.750 mata dengan wakil Filipina, Reyland Yuson Capellan merangkul emas dengan 13.950 mata.
Pingat gangsa diperoleh oleh gimnas Thailand, Tikumporn Surintornta dengan 13,600 mata.
Pada temasya Suykan SEA lepas di Singapura, dua tahun leaps, hanya Jeremiah meraih pingat tunggal untuk pasukan lelaki iaitu perak dalam acara palang tunggal.
Sementara itu. skuad wanita turut menyumbang satu pingat emas menerusi Tan Ing Yueh dalam acara melombol individu dengan 13.400 mata selepas mengatasi pencabar terdekat dari Indonesia, Rifda Irfanaluhfi (13.288 mata).
Pingat gangsa diperoleh gimnas negara, dan wakil negara, Tracie Ang dengan 13.275 mata.
Tracie turut merangkul pingat perak dalam acara palang bertingkat dengan 12.550 mata makala emas menjadi milik Kaitlin Cera Lianne De La Cruz De Guzman dari Filipina (12.8975 mata) serta gangsa diraih oleh Rifda dengan 12.075 mata,
Secara keseluruhan, skuad gimnastik artistik negara menyumbang rtiga emas, dua perak dan sebutir gangsa manakala esok, skuad negara akan bersaing dalam lima acara emas dalam kategori lelaki dan wanita.
-- BERNAMA