Gerak langkah oppa terus sumbang
Israr Khalid
Jun 23, 2018 05:07 MYT
Jun 23, 2018 05:07 MYT
KOREA SELATAN 1 MEXICO 2
Harimau Putih nampaknya longlai di bumi Rusia.
Barisan pimpinan Shin Tae-yong gagal mencetuskan aspirasi untuk bangkit atau sekurang-kurangnya mengutip satu mata daripada perlawanan menentang Mexico yang berkesudahan tewas 1-2.
Itupun gol tunggal merangkap gol saguhati disumbangkan pemain Tottenham Hotspurs, Son Heung-min pada saat akhir minit ketiga masa tambahan penghujung permainan, memaksa Korea Selatan pulang awal ke tanah air selepas kalah buat kali kedua.
Ia adalah satu-satunya gol yang berjaya disumbat Korea dalam edisi kali ini, dan satu gol yang amat cantik untuk sedikit mengubat luka, apabila Son merembat lencong bola untuk menewaskan Guillermo Ocho dari jarak hampir 23 meter.
Rostov Arena menyaksikan Los Mariachis meneruskan rentak cemerlang untuk kemenangan kedua bagi meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terakhir selepas meranapkan ego penyandang juara, Jerman pada perlawanan pertama Kumpulan G.
Bola mengenai tangan Jang Hyun-soo pada minit ke-26 dalam kawasan penalti Korea, memberikan pengadil Milorad Mazic tiada pilihan selain menganugerahkan penalti yang mudah disempurnakan Carlos Vela.
Dan pada minit ke-66, tetaplah hari ini bertarikh 23 Jun 2018 dipanggil Hari Chicharito apabila pemain dengan nama sebenar Javier Hernandez itu meledak gol kedua buat El Tri pada tarikh sama empat tahun lepas ketika dia turut meledak gol ketiga Mexico yang membenam Croatia 3-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A temasya di Brazil.
Gol itu juga merupakan yang ke-50 bagi rekod jaringan peribadinya untuk Mexico pada usia 30 tahun.
Mexico akan mengesahkan slot ke peringkat kalah mati hanya dengan kemenangan Sweden ke atas Jerman, dan oppa akan berpeluang tinggal lebih lama di Rusia sekiranya Jerman mampu memulihkan maruahnya dengan menewaskan Sweden.
Bertahan, oppa!
#FIFA
#Harimau Putih
#Korea Selatan
#Los Mariachis
#Mexico
#Oppa
#Piala Dunia
#Piala Dunia AWANI
#Raya Bola 2018
#Rostov Arena
#Rostov-on-don
#Rusia