'Gentlemen's agreement' perlu dihormati - Khairy
Astro Arena
Mac 20, 2017 19:50 MYT
Mac 20, 2017 19:50 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyarankan pihak yang terlibat dalam 'gentlemen's agreement' bagi pemilihan jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) wajar menghormati perjanjian tersebut.
Sukan badminton tanah air baru-baru ini gempar dengan kewujudan surat 'gentlemen's agreement' antara pemimpin kanan BAM.
Ia mengenai siapa yang bakal menggantikan Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff yang berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015.
Mengikut perjanjian itu, Tan Sri Al-Amin Abd Majid diberi tugas memangku jawatan presiden dan peralihan kuasa diberikan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Norza Zakaria pada pemilihan baru tahun ini.
Khairy ketika diminta mengulas mengenai perjanjian itu, berkata:"Mereka yang terlibat dalam perjanjian tersebut perlu jujur dan perlu mematuhi perjanjian tersebut.
"Saya berharap semua calon yang bertanding jawatan tertinggi FAM boleh mematuhi semangat perjanjian tersebut," kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian kerjasama penajaan di antara Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan syarikat pembungkusan plastik, SCGM Berhad di kementeriannya di sini, hari ini.
Tengku Mahalel sudah pun menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya beliau sejak 2013.
"Kalau sekiranya berasa kita menghormati perjanjian itu maka lebih baik kita mematuhinya tetapi apabila keadaan itu bukanlah perjanjian bertulis maka kita tidak dapat menguatkuasakan perjanjian tersebut," tambah Khairy.
Sementara itu, Norza ketika dihubungi Nadi Arena menyatakan kesediaannya memegang jawatan presiden berdasarkan perjanjian itu.
Beliau mengesahkan ada menerima surat sebagai mengingatkan 'gentlemen's agreement' itu bulan lalu.
"Saya sudah pun mendapat mandat daripada Tengku Mahaleel untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden dan akhirnya mengambil alih jawatan presiden sebaik kedudukannya selaku presiden berakhir.
"Itulah perkara yang menjadi intipati kepada perjanjian dibuat sebelum ini,"
Begitupun, Al-Amin, yang turut berminat menduduki kerusi no.1 badan induk itu, sekali lagi menafikan beliau terbabit dengan perjanjian tersebut.
"Saya sudah pun membuat kenyataan.
"Cukuplah sekali saya berkata, saya tidak akan menambah lagi apa yang saya telah katakan sebelum ini.
"Surat itu memang jelas tidak menyebut nama saya,'gentlemen's agreement' itu hanya melibatkan Tengku Mahaleel dengan Norza," tegasnya.
#badminton
#BAM
#calon
#Khairy Jamaluddin
#Norza Zakaria
#pemilihan
#presiden
#Tengku Mahaleel Tengku Ariff