Gempa Ranau: Sukan SEA tidak terjejas
Astro Arena
Jun 8, 2015 16:00 MYT
Jun 8, 2015 16:00 MYT
Kemeriahan Sukan SEA tidak terjejas meskipun Singapura berkabung ekoran bencana gempa bumi di Gunung Kinabalu Sabah yang mengakibatkan lapan rakyat negara itu meninggal dunia dan dua masih hilang.
Ini dibuktikan menerusi kehadiran penonton tampak memberangsangkan di semua gelanggang sukan pada hari ketiga temasya terutama di Dewan Sukan Bishan yang mempertandingkan acara gimnastik artistik pada Isnin.
Bagaimanapun, mereka tetap menghormati apa yang berlaku termasuk penganjur apabila setiap acara sukan dimulakan dengan upacara bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa yang terkorban.
Malah, muzik di semua venue bagi 18 acara sukan yang dijadualkan berlangsung pada hari ini juga tidak dimainkan seperti hari sebelumnya juga bagi memberi penghormatan kepada keluarga mangsa.
Sokongan daripada semua pihak terutamanya warga Sukan SEA yang terdiri daripada atlet, pegawai dan peminat sememangnya penting kerapa ia dapat mengurangkan keperitan yang dihadapi keluarga mangsa.
Bagi para atlet, perjuangan harus diteruskan dan tiada perkara yang mampu menghalang bagi mencapai misi masing-masing dan pastinya mereka menanam keazaman untuk memenangi pertandingan untuk tujuan dedikasi kepada keluarga mangsa.
Sekalipun temasya tetap diteruskan, kami warga media juga berasa simpati dengan insiden yang berlaku dan berharap semua pihak bersatu untuk mengingati dan memberi penghormatan kepada mangsa yang kehilangan nyawa dan terus berdoa terhadap mangsa yang masih hilang.