Gempa bumi Turkiye tidak jejaskan aksi jelajah pramusim KDA FC

Bernama
Februari 7, 2023 08:15 MYT
Khamal Idris Ali berkata kejadian gempa bumi di Turkiye adalah di zon berbeza yang tidak melibatkan jadual pasukan sepanjang 10 hari berada di negara itu. - Foto Facebook /Kedah Darul Aman FC
ALOR SETAR: Kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye, awal pagi Isnin tidak akan menjejaskan aksi jelajah Pramusim 2023 pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Antalya, Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC Khamal Idris Ali berkata kejadian gempa bumi di Turkiye adalah di zon berbeza yang tidak melibatkan jadual pasukan sepanjang 10 hari berada di negara itu.
"Saya tahu, bencana di Turkiye itu menimbulkan kebimbangan semua pihak terutamanya kaum keluarga pemain dan penyokong di Malaysia tetapi kejadian itu berlaku berada di zon yang berbeza.
"Jadi, empat perlawanan persahabatan menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine yang akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Center diteruskan seperti perancangan awal," katanya dalam kenyataan hari pada Isnin.
Sepanjang 10 hari berada di Antalya, pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Feb, FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Feb), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Feb) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Feb).
-- BERNAMA
#gempa bumi #jelajah #KDA FC #Khamal Idris Ali
;