Gempa bumi Turkiye: Kelibat pemain Ghana Christian Atsu masih belum dapat dikesan
Astro Arena
Februari 9, 2023 12:15 MYT
Februari 9, 2023 12:15 MYT
PENGURUS kelab Hatayspor, Volkan Demirel memaklumkan pihaknya masih belum dapat mengesan pemain Ghana, Christian Atsu selepas diberitahu sebelum ini pemain sayap itu 'selamat' dan berada di hospital berikutan gempa bumi.
Lebih 12,000 orang terbunuh dalam gempa bumi di Turkiye dan Syria itu.
Atsu yang sedang mewakili kelab Super Lig Hatayspor bersama Pengarah Sukan Taner Savut, pada awalnya dilaporkan hilang susulan tragedi itu.
Kelab itu bagaimanapun kemudiannya berkongsi berita positif apabila Naib Presiden Hatayspor, Mustafa Ozat berkata Atsu telah berjaya dikeluarkan daripada runtuhan dan dipindahkan ke hospital berikutan kecederaan yang dialaminya.
Namun kebimbangan berterusan apabila Hatayspor masih tidak dapat mengesahkan perkembangan terkini pemain berkenaan atau keberadaannya selepas menghubungi pihak hospital.
Dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh Hurriyet doktor Hatayspor, Gurbey Kahveci, berkata: "Kelab dimaklumkan Atsu dibawa ke Hospital Dortyol dan apabila menerima berita itu kami pergi untuk mengesahkannya, namun dia tiada di sana.
"Malangnya, kami menerima khabar bahawa Taner dan Christian Atsu belum ditemui buat masa ini." -- Stadium Astro