Gelembung sukan: Guna sebaik mungkin kebenaran berlatih, persiap pasukan menjelang saingan - Mohd Nidzam
Hasimi Muhamad
Februari 15, 2021 18:39 MYT
Februari 15, 2021 18:39 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas berehat panjang, jurulatih dan pemain bola sepak perlu menggunakan sebaik mungkin kebenaran menjalani latihan dalam mempersiapkan pasukan untuk hadapi Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual 5 Mac ini.
Bekas jurulatih Felda United sesi 2019/2020, Mohd Nidzam Jamil berkata, biarpun prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan mungkin memberi sedikit kesukaran, namun pasukan yang terlibat perlu bijak memanfaatkan peluang yang ada.
Ini kerana, setiap pasukan hanya memiliki sekurang-kurangnya tiga minggu lagi sebelum saingan bermula.
"Saya rasa jurulatih harus menggunakan segala kepakaran yang dimiliki oleh kelab, pembantu jurulatih 1 dan 2, serta jurulatih fizikal untuk sama-sama memikirkan kaedah terbaik untuk pasukan.
"Ini kerana setiap jurulatih dan pasukan ada cara mereka sendiri. Jadi, ada jurulatih yang gembira jika latihan untuk kecergasan sahaja, dan ada juga jurulatih yang memberikan latihan seperti perlawanan sebenar," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, bekas pemain kebangsaan itu berkata, jurulatih pasukan perlu kreatif membentuk latihan para pemain selari dengan SOP yang ditetapkan.
Kem kuarantin disifatkan sebagai langkah tepat dalam memastikan kecergasan pemain berada pada tahap yang baik, sekali gus mengelakkan sebarang kecederaan menjelang perlawanan.
"Saya rasa kem kuarantin ini bagus kerana SOP kita kena ikut. saya difahamkan, pemain, pegawai dan jurulatih diletakkan dalam satu perkampungan atau pusat latihan untuk memberi masa kepada jurulatih dan pemain duduk berasingan dengan keluarga.
"Mereka ada masa yang cukup untuk rehat, makan dengan baik dan paling penting latihan pemulihan kerana tempoh latihan dari enam minggu telah dipendekkan kepada tiga minggu," jelasnya.
Ditanya mengenai cadangan untuk membenarkan penonton hadir menyaksikan perlawanan, Mohd Nidzam berkata perkara itu boleh dipertimbangkan untuk meningkatkan kualiti permainan.
Cadangan tersebut, katanya dengan membenarkan sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh peratus penonton daripada kapasiti stadium.
Musim lalu, Felda United beraksi sembilan perlawanan tanpa penonton.
Sementara untuk musim ini, pasukan yang dikenali dengan jolokan The Fighters itu mengesahkan tidak
menyertai saingan Liga-M.
#Felda United
#gelembung sukan
#Liga Malaysia
#Latihan bola sepak dibenarkan
#Mohd Nidzam Jamil
#PKP
#COVID-19
#sukan
#Industri bola sepak