Gelaran juara LTdL 2022 milik Sosa

Bernama
Oktober 18, 2022 18:19 MYT
Penyandang Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad menyarungkan jersi kepada pelumba dari pasukan Movistar Team Ivan Ramiro Sosa Cuervo yang dinobatkan sebagai Pemegang Jersi Kuning (Jersi Keseluruhan Terbaik) LTdL 2022. - Foto BERNAMA
LANGKAWI: Pelumba Colombia Ivan Ramiro Sosa Cuervo dinobatkan pemenang Jersi Kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022.
Pada perlumbaan terakhir meliputi jarak 115.9 kilometer (km) mengelilingi Pulau Langkawi hari ini, Sosa mewakili pasukan Movistar Team merangkul jersi berkenaan selepas mempunyai kelebihan 23 saat di depan pelumba EF Education-Easypost, Hugh John Carthy dalam perebutan gelaran juara.
Sosa sekali gus menamatkan penantian pelumba Colombia dan benua Amerika Selatan meraih jersi kuning selepas kali terakhir dilakukan Julian David Arredondo (Team Nippo-De Rosa) pada 2013.
"Perlumbaan hari ini sangat laju dan kami sukar untuk mengejar namun pada akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang diinginkan.
"Ia penamat yang baik buat saya musim ini kerana dapat meningkatkan keyakinan untuk menempuhi musim baharu," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, pada perlumbaan peringkat kelapan juga kemuncak LTdL mengelilingi Pulau Langkawi, pelumba Burgos-BH, Alexander Molenaar muncul juara setelah mencatatkan 2 jam 25 minit 37 saat diikuti pelumba Alpecin-Deceuninck, Jason Osborne di tempat kedua sementara Juan Sebastian Molano Benavides dari pasukan UAE Team Emirates ketiga.
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) unggul dengan dua jersi iaitu Jersi Merah selaku Raja Bukit milik Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang mengumpul 29 mata manakala Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia milik Jambaljamts Sainbayar.
Jersi Hijau selaku Raja Pecut diraih juara peringkat keenam, Erlend Blikra dari Uno-X Pro Cycling Team yang mengumpul 49 mata.
-- BERNAMA
#Le Tour de Langkawi #Ivan Ramiro Sosa Cuervo #LTdL #jersi kuning
;