Gelagat penyokong England undang hukuman UEFA

Astro Arena
Julai 8, 2021 06:25 MYT
Schmeichel yang diganggu pancaran laser tetap berhasil menepis sepakan penalti Kane pada minit ke-104 tetapi gagal mematahkan tendangan susulan ketua pasukan England itu. - Astro ARENA
PERSATUAN Bola Sepak Eropah (UEFA) mengenakan pertuduhan terhadap finalis Euro 2020, England, selepas Kasper Schmeichel menjadi sasaran pancaran laser ke mukanya ketika menghadapi sepakan penalti Harry Kane di Stadium Wembley, awal pagi Khamis.
England berdepan tiga pertuduhan oleh penganjur kejohanan dan peminat pasukan kendalian Gareth Southgate itu turut menceroboh tempat duduk penyokong pelawat dalam kemenangan separuh akhir ke atas Denmark itu.
Kemenangan 2-1 selepas tambahan masa itu membawa England ke final kejohanan besar buat pertama kalinya sejak Piala Dunia 1966.
Namun, di tengah-tengah suasana menggembirakan, timbul kebimbangan UEFA.
Schmeichel yang diganggu pancaran laser itu tetap berhasil menepis sepakan penalti Kane pada minit ke-104. Bagaimanapun, dia tidak berdaya mematahkan tendangan susulan ketua pasukan England tersebut.
Penyokong The Three Lions juga mengejek lagu kebangsaan Denmark malah UEFA juga mendapati penyokong tuan rumah turut membakar mercun.
UEFA dalam satu kenyataan berkata: "Prosiding tatatertib telah dibuka terhadap perlawanan separuh akhir Euro 2020 di antara England dan Denmark (2-1) yang berlangsung pada 7 Julai di Stadium Wembley, London."
Tuduhan-tuduhannya adalah: "Penggunaan laser oleh penyokong; gangguan penyokong ketika nyanyian lagu kebangsaan; pembakaran bunga api oleh penyokong."
UEFA menambah: "Kes ini akan ditangani oleh Jawatankuasa Kawalan, Etika dan Tatatertib UEFA."
#penalti #Denmark #England #bola sepak #UEFA #pancaran laser #sepakan penalti #Kasper Schmeichel #Harry Kane #Stadium Wembley #Pertuduhan #ceroboh #penyokong #Euro 2020 #mercun #mengejek #prosiding tatatertib #lagu kebangsaan
;