Gavin tekad lebarkan penguasaan kedudukan Jelajah Asia

Bernama
November 22, 2017 22:59 MYT
Gavin bagaimanapun menyedari dia bakal berdepan cabaran sengit daripada dua pencabar terdekat - pemain Amerika Syarikat David Lipsky dan Scott Hend dari Australia. - Gambar fail
Pemain golf nombor satu Malaysia, Gavin Kyle Green berharap dapat melebarkan penguasaan dalam Order of Merit Jelajah Asia apabila saingan Terbuka Hong Kong di Kelab Golf Hong Kong, bermula esok.
Gavin yang bakal membuat penampilan sulung pada kejohanan menawarkan hadiah A$2 juta (RM8.216 juta) itu sedar dia memiliki peluang terbaik mengekalkan tempat teratas dalam kedudukan tersebut jika dapat mempamerkan prestasi mantap dalam saingan yang berlangsung selama empat hari itu.
Pemain berusia 23 tahun itu, bagaimanapun menyedari dia bakal berdepan cabaran sengit daripada dua pencabar terdekat - pemain Amerika Syarikat David Lipsky dan Scott Hend dari Australia, yang masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.
"Saya berharap dapat melebarkan penguasaan dalam Order of Merit, namun ia bukan satu yang mudah. Scott Hend beraksi dengan baik di sini (Hong Kong), begitu juga Lipsky.
"Saya perlu menampilkan prestasi terbaik minggu ini dan berharap dapat menamatkan cabaran di kedudukan teratas," kata Gavin seperti dipetik dalam laman web Jelajah Asia, www.asiantour.com.
Gavin berkata bukan mudah baginya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lapangan tersebut, namun yakin dengan pengalaman beraksi pada beberapa kejohanan sebelum ini, dia mampu mengatasi cabaran tersebut.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu beraksi cemerlang musim ini, dengan meraih gelaran pertama Jelajah Asia apabila menjuarai Taiwan Masters, bulan lepas, di samping menduduki tempat kedua sebanyak tiga kali pada Terbuka India, Kejohanan Yeangder Heritage di Taiwan serta Terbuka Shinhan Donghae di Korea Selatan.
-- BERNAMA
#Gavin Kyle Green #golf #jelajah Asia #pemain negara #terbuka hong kong
;