Gavin, Khavish hanya ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu bersama Veer, Jazz
Bernama
Februari 15, 2024 07:15 MYT
Februari 15, 2024 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Wakil negara, Gavin Kyle Green dan V Khavish Varman masing-masing melakarkan tujuh bawah par 64 untuk berkongsi kedudukan tempat keempat - hanya ketinggalan dua pukulan di belakang pendahulu bersama selepas pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Malaysia, semalam.
Pada saingan bernilai US$1 juta (RM4.78 juta) di The Mines Resort Golf Clun, Seri Kembangan, dekat sini, pemain India, Veer Ahlawat dan Jazz Janewattananod dari Thailand muncul pendahulu bersama selepas melakarkan catatan sembilan bawah par 62.
Pemain profesional negara Gavin, membenam lima birdie dan satu eagle manakala Khavish, yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengutip sembilan birdie dan dua bogey untuk bersaing rapat dengan Veer dan Jazz pada acara pertama musim ini dalam airi Jelajah Asia.
Pemain Kanada, Richard Taehoon Lee menduduki tangga ketiga dengan lapan bawah par 63.
Veer melonjak kedudukan dengan menghasilkan 10 birdie dan bogey tunggal di lubang ke-18 manakala Jazz memukau dengan tujuh birdie dan satu eagle di lubang ke-11.
"Permulaan yang sangat baik untuk minggu dan tahun ini juga. Rehat panjang yang baik nampaknya telah membawa kebaikan kepada saya. Saya banyak berehat dan bermain golf dengan baik.
"Saya pergi ke (Selatan) Korea untuk berlatih dengan jurulatih baharu di BFG Korea - sebuah sekolah golf - dan ia memberi saya banyak kebaikan," kata Jazz.
Sementara itu, Gavin berharap dapat melakukan lebih banyak pukulan birdie dan eagle pada pusingan kedua hari ini bagi mengekalkan saingan.
Tidak banyak kesilapan besar, saya memberi diri saya banyak peluang. Saya memukul dengan cukup baik dan terlepas beberapa pukulan putt tetapi perkara utama ialah saya konsisten.
"Ia adalah sesuatu yang saya cari dan sesuatu yang saya dan jurulatih sedang usahakan.
"Selain itu, berjaya melakukan banyak pukulan ke kawasan lubang dan memperroleh eagle di lubang ke-17. Itu benar-benar memulakan pusingan..mula dengan pukulan mudah par dan seterusnya beberapa birdie," katanya kepada pemberita di sini.
Khavish juga boleh melihat kembali pusingan pembukaannya dengan bangga, terutamanya selepas memulakan saingan dengan bogey di par empat lubang pertama.
"Hari pertama anda mesti sentiasa meletakkan diri anda pada kedudukan, tetapi saya biasanya tidak begitu baik pada awal saingan dan saya sentiasa mencari untuk mengejar kelompok depan dalam beberapa hari terakhir. Matlamatnya adalah untuk mengekalkan diri saya dalam saingan dan itulah yang saya lakukan," kata Khavish.
Sementara itu, tujuh pemain - Danthai Boonma (Thailand), John Catlin (Amerika Syarikat), Lee Chieh-Po (Taiwan), Steve Lewton (England), Park Lion (Korea Selatan), Justin Quiban (Filipina) dan Kevin Yuan (Australia) - kekal dalam jarak sentuhan dengan hanya tiga pukulan di belakang pendahulu.
Mereka berkongsi tempat keenam dengan catatan enam bawah par 65.
Pemain Malaysia lain yang mencatatkan prestasi baik pada hari pertama termasuk Nor Heikal Nor Hadi, dengan lima bawah par 66 untuk terikat di tempat ke-13 dan Ben Leong mencatatkan tiga bawah par 68 untuk berada di tempat ke-37.
Dalam pada itu, Anson Yeo, Shaifubari Muda dan Danial Faidz Jazmi terikat di tempat ke-58 dengan dua bawah par 69.
-- BERNAMA