Gavin harap lakar persembahan lebih mantap pada Piala Toyota Cross

Bernama
Ogos 7, 2023 18:04 MYT
Pemain ranking ke-199 dunia itu bagaimanapun berharap dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik di Palm Garden. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional utama negara, Gavin Kyle Green sekali lagi menjadi tumpuan utama dalam mengejar gelaran sulungnya pada siri Jelajah Toyota pada Kejohanan Piala Toyota Cross bermula esok di Kelab Golf Palm Garden, Putrajaya.
Kemunculan sulung Gavin pada siri jelajah itu di Piala Supra 2023, akhir bulan lalu, tidak seperti dijangkakan apabila pemain itu mengalami deman dan sakit kepala selepas kembali daripada pertandingan selama empat minggu berturut-turut di Eropah.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya mampu berkongsi kedudukan tempat kelapan dengan satu bawah par 212 pukulan pada saingan tiga pusingan itu.
Pemain ranking ke-199 dunia itu, bagaimanapun, berharap dapat mempamerkan prestasi yang lebih baik di Palm Garden, lapangan yang hampir tidak diingatinya selepas kali terakhir beraksi sebelum menjadi pemain profesional pada 2015.
"Saya telah berusaha untuk memulihkan semula keadaan fizikal...sakit semasa kejohanan lalu memang membebankan keupayaan badan," katanya dlaam kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Gavin perlu berdepan cabaran daripada beberapa pemain untuk merebut kejuaraan, termasuk juara Sukan SEA Hanoi 2021, Ervin Chang, yang berkongsi a kedudukan ke-19 pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta, semalam.
Cabaran kategori wanita akan diketuai juara Piala Supra 2023, Aretha Pan serta beberapa pemain berbakat seperti Geraldine Wong, Dianne Luke dan Michelle Koh.
Kejohanan pusingan ketujuh Jelajah Toyota itu menawarkan jumlah hadiah tunai RM180,000 untuk kategori lelaki dengan juara mempertoleh RM31,500 manakala kategori wanita pula menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000 dengan juara memperoleh RM10,000.
-- BERNAMA
#Gavin Kyle Green #golf #Kejohanan Piala Toyota Cross #Putrajaya
;