Gavin hanya ketinggalan satu pukulan dengan juara Siri Antarabangsa Singapura
Bernama
Ogos 14, 2022 05:15 MYT
Ogos 14, 2022 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green terlepas gelaran Siri Antarabangsa Singapura dengan satu pukulan kepada pemain Thailand, Nitithorn Thippong di Tanah Merah Country Club di Singapura, pada Ahad.
Pemain Thailand itu merangkul gelaran itu dengan kelebihan satu pukulan selepas menamatkan saingan dengan 16 bawah 272 manakala Gavin merakamkan 273 pukulan untuk terikat dengan pemain Kanada, Richard T Lee dan pemain Thailand, Phachara Khongwatmai.
Gavin, yang muncul pendahulu dua pusingan pertama dengan catatan 65, 65, gagal mengekalkan kedudukan pendahulu apabila mencatatkan 72 pada Sabtu dan mengakhiri saingan dengan 71 pukulan.
Gavin, juara Order of Merit Jelajah Asia 2017, menyifatkan saingan pada lubang terakhir sengit dan gelaran tersebut boleh menjadi milik sesiapa sahaja pada saat tersebut.
"Saya cuba dengan gigih dan kekal sabar sebaik mungkin," kata Gavin dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jelajah Asia.
Sementara itu, Nitithorn, yang menerima hadiah wang tunai US$270,000 (RM1.2 juta), berkata, beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya kerana sudah berlatih bersungguh-sungguh untuk kejohanan yang sulung kali diadakan.
"Ini adalah hebat. Saya melakukan banyak pukulan birdie dan kekuatan mental saya hebat . Saya tidak memikirkan tentang skor tetapi hanya melalui proses untuk melakukan pukulan terbaik pada setiap lubang," katanya.
-- BERNAMA