Gary Naville selar pembelian panik Manchester United
Astro Arena
September 10, 2022 08:45 MYT
September 10, 2022 08:45 MYT
LEGENDA Manchester United, Gary Neville, menuduh bekas kelabnya tidak melakukan strategi perpindahan yang sepatutnya sepanjang musim panas lalu.
Dalam musim pertama Eric ten Hag sebagai pengurus di Old Traffrod, The Red Devils menandatangani Tyrell Malacia, Christian Eriksen dan Lisandro Martinez tetapi gagal mendapatkan Frenkie de Jong daripada Barcelona menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Selepas memulakan kempen dengan kekalahan kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford, mereka berbelanja besar untuk mendatangkan Casemiro daripada Real Madrid dan Antony daripada Ajax.
Walaupun mempamerkan peningkatan dengan meraih empat kemenangan berturut-turut, termasuk ke atas Liverpool dan Arsenal, Neville tidak tertarik dengan apa yang dilakukan pihak pengurusan United.
"Manchester United mahu membelanjakan £130 (RM678.36 juta) hingga £140juta (RM730.54) tetapi pada akhirnya, mereka membelanjakan £230 (RM1.2 bilion)," katanya dalam The Overlap Fan Debate Xtra.
"Amat jelas kita pernah melihat perkara sama sebelum ini dilakukan keluarga Glazer -- banyak masalah, protes terjadi, menambah pelaburan dan memujuk penyokong dengan pembelian panik.
"Pembelian Casemiro dan Antony dilakukan hanya dua hari sebelum perlawanan menentang Liverpool, yang sudah jelas merupakan momen di mana mereka hanya perlu membawa masuk pemain baru.
"Pada awal musim panas lalu, itu bukanlah strateginya untuk membelanjakan wang seperti yang dibelanjakan mereka," katanya lagi.