Garrido tuntut skuad baharu B-19 bukti kemampuan di Indonesia

Bernama
Julai 8, 2024 06:00 MYT
Garrido menuntut anak buahnya supaya tenang dan mengelakkan tekanan selaku penyandang juara dan tidak mengambil mudah kejohanan itu dengan memberi tumpuan kepada setiap perlawanan. - Foto Facebook/FAM
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Juan Torres Garrido mencabar barisan pemain baharu untuk membuktikan bahawa mereka layak bergelar juara bertahan apabila menggalas cabaran negara pada Kejohanan B-19 ASEAN 2024 di Surabaya, Indonesia pada 17 hingga 29 Julai ini.
Sebaliknya, jurulatih dari Sepanyol itu menuntut anak buahnya supaya tenang dan mengelakkan tekanan selaku penyandang juara dan tidak mengambil mudah kejohanan itu dengan memberi tumpuan kepada setiap perlawanan.
"Saya faham jika ini pasukan yang sama menjuarai edisi 2018 atau 2022, mungkin ada tekanan tetapi kali ini adalah barisan pemain baharu dan kumpulan ini perlu membuktikan mereka berhak bergelar juara,"katanya kepada pemberita pada hari pertama kem latihan pusat di Universiti Malaya di sini pada Isnin.
Sebagai rekod, skuad negara yang dibimbing Bojan Hodak pada ketika itu, merangkul gelaran sulung kejohanan serantau tersebut pada edisi 2018 sebelum Hassan Sazali Waras mengemudi pasukan meraih kejuaraan kedua empat tahun kemudian.
Pada edisi tahun ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama juara lima kali Thailand, Singapura dan Brunei manakala naib juara Laos dalam Kumpulan B bersama VIetnam, Myanmar dan Australia.
Skuad tuan rumah yang muncul juara edisi 2013 pula diundi bersama Timor-Leste, Kemboja dan Filipina.
Ditanya mengenai cabaran dalam saingan kumpulan, Garrido berkata beliau tidak mahu memikirkan perkara itu.
Menurutnya, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan persiapan yang baik supaya pasukan menjadi mantap dan dapat menggunakan pendekatan perlawanan demi perlawanan pada kejohanan itu.
"Saya tidak suka bercakap banyak tentang lawan kita...sama ada mereka lemah atau kuat kerana pada masa ini kita tidak tahu banyak tentang generasi ini.
Mengikut format kejohanan, juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik kumpulan layak ke saingan separuh akhir.
-- BERNAMA
#ASEAN #satu pasukan #juara bertahan #kem latihan
;