Gantung FAM mengundang implikasi berat
Astro Arena
Oktober 10, 2015 08:45 MYT
Oktober 10, 2015 08:45 MYT
Akta Pembangunan Sukan 1997 mungkin akan dipinda bagi memberi lebih banyak pilihan kepada Pesuruhjaya Sukan dalam memutuskan hukuman terhadap persatuan sukan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman menghadapi kesulitan dalam membuat keputusan mengenai hukuman yang wajar diterima oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kekecohan semasa kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Arab Saudi, bulan lepas.
"Sekarang dari segi denda untuk persatuan seperti FAM tidak banyak, dalam RM50,000 sahaja dan pilihan lain pula terus penggantungan. Satu terlalu drastik dan satu lagi terlalu ringan.
"Jadi mungkin kita perlu fikirkan dari segi perundangan untuk masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Garmin MP Step Challenge, di sini pada Jumaat.
Sebelum ini beliau berkata FAM berkemungkinan akan digantung sekiranya Pejabat Pesuruhjaya Sukan tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh badan induk bola sepak negara itu.
Khairy berkata beliau telah meminta Zaiton untuk mengkaji implikasi tindakan yang akan diambil terhadap FAM bagi mengelakk ia memberi kesan buruk kepada bola sepak negara secara keseluruhannya.
Katanya penggantungan terhadap FAM boleh mengundang tindakan drastik daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), yang jelas tidak membenarkan sebarang campur tangan kerajaan dalam pentadbiran ahli gabungannya.
"Pendapat popular hari ini ialah minta tindakan drastik terhadap FAM, mungkin mereka tidak fikir soal kesan selepas itu apabila penggantungan dibuat oleh FIFA terhadap persatuan bola sepak negara, hendak dapat semula persetujuan FIFA untuk dimasukkan semula amat sukar," katanya.
Pada 5 Okt lepas, FIFA mengumumkan hukuman terhadap FAM susulan kekecohan pada perlawanan menentang Arab Saudi itu.
Selain denda RM180,000 berserta amaran dan kemenangan percuma 3-0 kepada Arab Saudi, Malaysia turut dihukum bermain satu perlawanan tanpa kehadiran penyokong apabila menentang Emiriah Arab Bersatu pada 17 Nov ini.