Gantung FAM keputusan tidak wajar
Astro Arena
September 7, 2015 09:15 MYT
September 7, 2015 09:15 MYT
"TIDAK wajar," itu reaksi bekas pemain bola sepak negara era 80an, Khalid Ali jika ada usaha untuk menggantung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan alasan menjatuhkan maruah negara dalam aksi Kelayakan Piala Dunia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan keputusan 10-0 baru-baru ini.
Reaksi itu timbul susulan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meletak kesalahan aksi longlai skuad negara hanya kepada FAM semata-mata.
Baginya, sebagai individu penting dalam arena sukan negara tindakan menunding jari kepada satu pihak adalah tidak matang dan hanya memburukkan lagi keadaan.
"Kebanyakan pemain yang mewakili Harimau Muda A, B, C dan D datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil sendiri, jadi mengapa Khairy mahu menggantung FAM jika pihak di Bukit Jalil sendiri gagal melahirkan pemain yang baik," katanya.
Khalid menjelaskan, situasi ketika ini memperlihatkan betapa keseluruhan kesalahan diletakkan di bahu bekas jurulatih negara Dollah Salleh.
Apatah lagi, setiap pihak termasuk persatuan negeri juga perlu bertanggungjawab ekoran kegagalan mereka menyediakan pemain bertaraf antarabangsa untuk skuad negara.
"Saya rasa bukan Dollah yang harus dipersalahkan, pernah saya mengatakan pasukan negeri ini harus meningkatkan program mereka supaya terbentuknya pemain yang terbaik di dalam negara," katanya.