Gantung 6 bulan: Faizal Saari hampir gila

Astro Arena
Mac 26, 2016 23:28 MYT
Faizal Saari (gambar) akui menyesal dengan tindakan ponteng latihan skuad kebangsaan hingga digantung 6 bulan.
PENYERANG hoki negara, Faizal Saari akui menyesal dengan tindakan ponteng latihan skuad kebangsaan hingga digantung 6 bulan kerana hukuman itu membuatkan dirinya hampir gila.
Ekoran gagal menghadiri latihan pada tahun lepas, Konfederasi Hoki Malaysia telah menggantung penyerang skuad hoki negara Faizal Saari selama enam bulan.
Namun sejak digantung Disember lalu, dia lebih banyak menyepi dan terpaksa cari jalan sendiri untuk meneruskan karier dalam sukan itu.
Dia bertindak sebagai jurulatih klinik hoki selain turut berjinak-jinak dalam bola sepak dan futsal.
Namun, hoki tetap dihati dan dia meluahkan betapa sukar mengharungi tempoh penggantungan.
"Saya akur keputusan pergantungan ini, saya melakukan latihan seorang diri, saya mahu kembali beraksi bersama skuad negara tetapi tahap kecergasan saya masih belum sampai ke tahap yang terbaik," kata faizal.
Penggantungan Faizal akan tamat 20 Jun depan.
Ini bermakna, penyerang Terengganu Hockey Team ini akan terlepas Piala Sultan Azlan Shah dan perlu meyakinkan ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen memilihnya semula dalam skuad kebangsaan.
Buat masa ini, Faizal akan meneruskan rutin harian sebagai jurulatih klinik hoki, pemain bola sepak dan futsal secara sosial.
#Faizal Saari #gantung 6 bulan #Konfederasi Hoki Malaysia #latihan skuad kebangsaan
;